Ramai tak tahu rupanya zon waktu di Malaysia sebenarnya salah

Oleh SURIANI HAMDAN

Adakah anda pernah memperhatikan mengapa waktu Maghrib di Sabah lebih awal daripada di Semenanjung? Kadang-kadang, ia berlaku hampir sejam lebih awal.

Pada masa kecil dulu, saya selalu merasakan untuk sahur di Semenanjung dan berbuka di Sabah kerana waktu berbuka lebih awal di sana.

Adakah penggunaan waktu ini betul atau salah?

Ramai tak tahu rupanya zon waktu di Malaysia sebenarnya salah

Sejarah waktu di Malaysia bermula dengan pengenalan Waktu Min Greenwich (GMT) oleh British pada tahun 1880. Ketika itu, nilai GMT dipengaruhi oleh longitud negara, dan Greenwich ditetapkan sebagai GMT+0.

Tanah Melayu pada mulanya menggunakan nilai GMT+06:46:46, tetapi terdapat perbezaan waktu di setiap negeri di Semenanjung.

Sebagai tindak balas untuk menstandardkan waktu di Semenanjung, British menggunakan waktu Singapura (GMT+06:55:25) pada tahun 1901, yang kemudian disetujui sebagai GMT+07:00 pada tahun 1905.

Pada tahun 1920, Sistem Jimat Waktu Siang diperkenalkan untuk memanjangkan waktu siang selama 30 minit, menjadikan waktu Semenanjung menjadi GMT+07:30. Namun, pada tahun 1933, 10 minit dikurangkan dari waktu tersebut.

Sementara itu, Sabah dan Sarawak menggunakan waktu tempatan masing-masing yang kemudiannya diselaraskan kepada GMT+07:30 pada tahun 1926 dan akhirnya menjadi GMT+08:00.

Penjajahan Jepun membawa perubahan masa mengikut Tokyo (GMT+09:00), tetapi selepas Perang Dunia Kedua, waktu dikembalikan kepada GMT+07:30 dan GMT+08:00.

Selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Malaysia Timur dan Barat menggunakan zon masa yang berbeza. Walau bagaimanapun, pada 21 Disember 1981, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan penyelarasan waktu di seluruh Malaysia.

Cadangan ini dilaksanakan pada 31 Disember 1981. Semua jam di Malaysia Barat pada pukul 11.30 malam dipercepatkan sebanyak 30 minit menjadikan jam di Malaysia Barat dan Malaysia Timur tepat 12 malam, menyamakan waktu Malaysia Timur dengan Malaysia Barat.

Keputusan ini membantu memudahkan kerjasama dan mengurangkan kekeliruan di kalangan penduduk.

Namun, perbezaan zon masa telah membawa kesan sosial dan ekonomi yang signifikan seperti Dasar Pandang ke Timur negara pada waktu itu.

Negara-negara ekonomi besar pada masa itu seperti Hong Kong, Taiwan, dan Macau menggunakan zon masa yang sama, membolehkan pasaran perniagaan dibuka pada waktu yang sama.

Walaupun begitu, dari segi sosial, ia membawa kepada fenomena “social jet lag” kerana orang di Semenanjung merasakan waktu siang yang lebih panjang daripada di Sabah dan Sarawak.

BACA: Rupanya ada perkuburan komuniti Yahudi di Pulau Pinang, ini kisah kemasukan Yahudi di Tanah Melayu