Ramai pembayar cukai dan perniagaan masih belum mengetahui tentang e-INVOIS, iaitu transaksi digital antara penjual dan pembeli yang boleh menggantikan invois tradisional dalam transaksi perniagaan.
Walaupun peniaga masih boleh menggunakan sistem invois sedia ada, e-INVOIS wajib dilaksanakan untuk pematuhan cukai, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Kerajaan telah memperkenalkan e-INVOIS LHDN untuk meningkatkan pengurusan cukai di negara ini, selaras dengan pertumbuhan ekonomi digital.
Langkah ini adalah sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12, yang memfokuskan kepada pengukuhan infrastruktur perkhidmatan digital dan pendigitalan pentadbiran cukai.
e-INVOIS membolehkan pengesahan dan penyimpanan transaksi hampir dalam masa nyata, merangkumi transaksi Perniagaan-ke-Perniagaan (B2B), Perniagaan-ke-Pengguna (B2C), dan Perniagaan-ke-Kerajaan (B2G).
Apa Itu e-INVOIS?
e-INVOIS ialah representasi digital bagi transaksi antara penjual dan pembeli, menggantikan dokumen kertas atau elektronik seperti format PDF, JPEG, DOC, dan lain-lain. e-INVOIS mengandungi maklumat penting yang sama seperti dokumen tradisional, termasuk butiran penjual dan pembeli, keterangan item, kuantiti, harga tanpa cukai, cukai, dan jumlah keseluruhan, yang merekodkan data transaksi untuk operasi perniagaan harian.
Dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan mandatori e-INVOIS untuk pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bermula 1 Ogos 2024, dan untuk semua pembayar cukai bermula 1 Julai 2025.
Siapa Wajib Guna e-INVOIS?
e-INVOIS terpakai kepada semua pembayar cukai yang menjalankan aktiviti komersial di Malaysia. Ini termasuk perniagaan yang melibatkan penyediaan barangan dan perkhidmatan, serta beberapa urus niaga bukan perniagaan antara individu. Semua individu dan entiti sah di bawah perundangan dikehendaki mematuhi keperluan e-INVOIS, termasuk:
1.Persatuan
2.Kumpulan orang
3.Cawangan
4.Amanah perniagaan
5.Koperasi
6.Syarikat
7.Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)
8.Perkongsian
9.Tabung amanah hartanah
10.Amanah harta
11.Amanah pelaburan hartanah
12.Pejabat perwakilan dan pejabat wilayah
13.Badan amanah
14.Unit amanah
Apa Tujuan e-INVOIS?
Seluruh dunia perlu bersiap sedia ke arah ekonomi digital. Banyak negara sudah memulakan penggunaan e-INVOIS. Dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi digital, e-INVOIS dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran cukai negara.
Bagaimana e-INVOIS Dikeluarkan?
Penjual boleh mengeluarkan e-INVOIS sama ada melalui Portal MyINVOIS yang dibangunkan oleh LHDN atau melalui Application Programming Interface (API) bagi perniagaan berskala besar.
Manfaat & Kelebihan
Pelaksanaan e-INVOIS akan meningkatkan kecekapan dan melancarkan operasi perniagaan pembayar cukai serta meningkatkan tahap pematuhan cukai. Kelebihan lain termasuk:
– Penyediaan invois secara manual diringkaskan dengan pengeluaran dokumen dan pengemukaan invois secara elektronik.
Pengautomasian kemasukan data invois mengurangkan kesilapan dan proses manual oleh pembayar cukai.
– Memudahkan pengemukaan borang nyata melalui integrasi sistem yang lancar bagi tujuan pelaporan cukai yang efisien dan tepat.
– Bagi syarikat besar, e-INVOIS memperkemaskan operasi perniagaan, meningkatkan kecekapan, serta menjimatkan masa dan kos melalui proses automasi dan integrasi data.
– Bagi Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS), e-INVOIS dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan peralihan kepada sistem baru ini secara terkawal dan selaras dengan piawaian industri.
Jenis-Jenis e-INVOIS LHDN
1. Invois
Dokumen komersial yang merekodkan transaksi antara penjual dan pembeli, termasuk pengeluaran sendiri e-INVOIS seperti mendokumenkan perbelanjaan dengan penjual asing.
2. Nota Kredit
Dikeluarkan untuk membetulkan kesilapan, memberikan diskaun, atau merekodkan pulangan dalam e-INVOIS yang telah dikeluarkan, tanpa melibatkan pemulangan wang kepada pembeli.
3. Nota Debit
Dikeluarkan untuk menunjukkan caj tambahan dalam e-INVOIS yang telah dikeluarkan sebelum ini.
4. Nota Bayaran Balik
Dokumen yang dikeluarkan untuk mengesahkan pemulangan bayaran kepada pembeli.
Tarikh Pelaksanaan
Untuk perniagaan dengan pendapatan tahunan RM100 juta ke atas, pelaksanaan bermula 1 Ogos 2024.
Untuk semua pembayar cukai, pelaksanaan wajib bermula 1 Julai 2025.
BACA: Kronologi kes tragis penuntut UPNM yang ramai baru nak ambil tahu