Ramai yang mungkin tidak tahu mengapa lima filem Tan Sri P. Ramlee gagal ditayangkan di televisyen, dan mungkin ada sebab-sebab tertentu di sebaliknya.
Karya seniman agung Malaysia, Tan Sri P. Ramlee, yang nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih,
memang sangat dikenali di kalangan rakyat Malaysia. Filem-filemnya masih dikenang dan boleh ditonton berulang kali tanpa jemu.
Setiap lapisan masyarakat, dari yang tua hingga muda, malah kanak-kanak,
mengenali nama P. Ramlee sebagai tokoh seni terulung dalam dunia Melayu.
Namun, di sebalik kemasyhuran P. Ramlee, tidak semua filem lakonan dan arahannya ditayangkan di televisyen.
Jika anda ingin tahu sebabnya, mari kita lihat artikel ini. Mungkin ada filem yang anda sendiri belum pernah tonton.
Sabarudin Tukang Kasut (1966)
Filem Sabarudin Tukang Kasut yang diarahkan oleh P. Ramlee berkonsepkan cerita ‘1001 malam’ dengan tema komedi. Dikatakan bahawa filem ini mengandungi banyak sindiran sinis kepada pemerintah, tetapi juga mengandungi pengajaran untuk penonton.
Namun, filem ini tidak ditayangkan di TV kerana kualiti gambar dan audionya dianggap rendah. Malah, VCD originalnya juga diletakkan label “Keadaan Gambar & Suara Kurang Memuaskan. Harap Maaf.”
Bakti (1950)
Filem Bakti, arahan L. Krishnan, merupakan filem pertama yang menampilkan P. Ramlee sebagai hero, memegang watak Nasir. Nama Nasir juga diberikan kepada anak sulungnya yang lahir pada tahun 1953.
Filem ini mengisahkan seorang budak miskin yang dijaga oleh Orang Kaya Ibrahim dengan persetujuan anak perempuannya, Sa’adiyah, tetapi dibenci oleh anak lelakinya, Hassan. Cerita ini diadaptasi dari novel Les Misérables, tetapi salinan penuhnya dipercayai telah hilang dan gagal ditemui.
Melanchong Ka-Tokyo (1964)
Melanchong Ka-Tokyo, arahan Ramon A. Estella, dirakam di studio Singapura dan Jepun. Walaupun P. Ramlee tidak berlakon dalam filem ini, beliau dijemput sebagai penyanyi undangan.
Filem ini menceritakan tentang Rosnah dari Malaysia yang memenangi pertandingan dengan ganjaran melancong ke Jepun. Ia menunjukkan konflik hubungan antara Rosnah, Kunio (lelaki Jepun), dan Darus. Salinan filem ini dikatakan musnah akibat banjir di studio Jalan Ampas pada tahun 1966.
Gelora (1970)
Filem Gelora mengisahkan konflik kekeluargaan dan percintaan. Walau bagaimanapun, filem ini turut memaparkan adegan seksual antara Sarimah dan kekasih anak perempuannya. Oleh kerana babak-babak intim yang tidak sesuai untuk kanak-kanak, filem ini tidak ditayangkan di televisyen.
Sitora Harimau Jadian (1964)
Filem Sitora Harimau Jadian, yang diinspirasikan dari Werewolf of London, dibuat selepas P. Ramlee melawat studio Merdeka berhampiran Zoo Negara.
Filem ini menceritakan tentang penduduk Kampung Kiambang yang diganggu oleh Sitora Harimau Jadian. Dr. Afendi datang untuk membantu tetapi akhirnya terkena sumpah dan menjadi Anak Sitora.
Filem ini tidak ditayangkan di TV kerana mengandungi unsur tahyul yang melampau. Salinan filem ini juga dikatakan telah hilang.
BACA: Ikon kasut jenama Nike, rumah Michael Jordan bernilai RM63 juta 10 tahun tak laku-laku