Rakyat boleh lihat konflik politik dalam kerajaan PH dahulu – Tuan Ibrahim

Rakyat boleh lihat konflik politik dalam kerajaan PH dahulu – Tuan Ibrahim

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas gagal melaksanakan tanggungjawab sebenar secara profesional serta amanah, malah tindakannya hanya berasaskan kepentingan politik pihak tertentu sahaja.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyifatkan bahawa pandangan dan tuduhan yang dinyatakan oleh bekas Peguam Negara itu di dalam buku terbarunya yang berjudul My Story: Justice in the Wilderness adalah sebuah penghinaan kepada institusi Peguam Negara.

“Rakyat boleh melihat sendiri bagaimana konflik politik undang-undang yang berlaku sewaktu pemerintahan PH terutama melibatkan isu-isu besar seperti kes Zakir Naik, kematian Almarhum Adib, LTTE, kejatuhan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri Interim.

“Pengasingan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya boleh dilihat sebagai mekanisme baharu bagi memastikan kes-kes berkepentingan tinggi dapat dibicarakan secara telus dan adil,” katanya.

Ulas beliau, berdasarkan pendedahan tersebut, kerajaan juga boleh mengkaji semula berhubung beberapa kes untuk tujuan semakan termasuk pendakwaah kes bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Bagaimanapun katanya, sikap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang rela berhadapan dengan kecaman orang Melayu dan pengkritik dilihat sebagai satu keputusan mengundang kemarahan rakyat sehingga menyumbang kejatuhan Kerajaan PH.

Justeru itu, melalui kontroversi berkenaan buku ‘memoir’ yang ditulis Tommy Thomas itu juga adalah bukti nyata bagaimana Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan tanggungjawab baginda dalam tempoh peralihan kuasa dengan seadil-adilnya tanpa cuba memihak kepada mana-mana pihak seperti didakwa. – HARAKAHDAILY