Rafizi mahu terus gerakkan PKR untuk siap sedia hadapi PRU15. TERIMA KASIH
Saya mengucapkan terima kasih dan rasa terhutang budi kepada semua anggota KEADILAN yang telah melaksanakan tanggungjawab memilih barisan pimpinan kanan bagi sesi 2022 – 2025. Pemilihan kali ini berlangsung pada masa parti berada di persimpangan yang bakal mencorakkan arus politik negara untuk sedekad akan datang.
Kemunculan KEADILAN sejak era reformasi banyak membentuk kematangan politik rakyat. KEADILAN tidak sentiasa menang pilihanraya tetapi idea yang dibawa selalu menjadi titik tolak perubahan politik negara.
KEADILAN menzahirkan politik progresif pelbagai kaum sejak 1999 di kala idea itu mendahului zamannya. Walaupun tidak berjaya pada awalnya, keyakinan anggota parti kepada idea politik progresif pelbagai kaum membawa kepada perubahan besar dalam PRU 2008 yang memulakan kejatuhan UMNO/Barisan Nasional.
Sejak 2008, KEADILAN dan rakan-rakan di dalam pakatan politik yang dipelopori menampilkan pula persaingan politik berasaskan idea yang berteraskan kepentingan rakyat. Pelbagai lontaran idea mengenai formula dan pendekatan baru untuk menangani masalah struktur ekonomi rakyat, rasuah dan mengupayakan rakyat merintis kepada perubahan dalam tahun 2018.
Pencapaian demi pencapaian dalam sistem politik negara yang banyak dipelopori KEADILAN sejak 1998 terbantut seketika akibat pelbagai muslihat politik selepas 2018. Kita terlupa bahawa setelah rakyat memberi kepercayaan kepada KEADILAN dan Pakatan Harapan dalam PRU14, kehendak dan aspirasi rakyat yang diletakkan ke atas KEADILAN adalah lebih tinggi dari sebelumnya.
Rakyat tahu bahawa UMNO/Barisan Nasional bergelumang dengan rekod rasuah yang telah menyebabkan kepincangan yang membebankan rakyat sekarang. Rakyat juga tahu bahawa BERSATU/Perikatan Nasional hanyalah pakatan politik yang mengejar kuasa tanpa pembezaan ketara dari UMNO/Barisan Nasional.
Namun, adalah tidak adil sekiranya rakyat dipaksa untuk memilih KEADILAN/Pakatan Harapan hanya kerana pilihan-pilihan lain itu lebih teruk.
Sebagai seorang rakyat biasa yang tidak berjawatan dan menjalani kehidupan awam sejak 2018, saya faham perasaan pengundi biasa. Mereka lebih arif mengenai kegagalan sistem dan masalah struktur yang ada di negara ini kerana mereka berdepan dengan kegagalan yang dibebankan kepada mereka setiap hari.
Sebagai rakyat biasa juga, saya percaya rakyat mahukan idea penyelesaian yang ditampilkan oleh barisan pentadbir dari kalangan ahli politik yang ada wawasan. Tidak cukup untuk pimpinan KEADILAN/Pakatan Harapan faham masalah secara mendalam dan berjaya mengutarakan penyelesaian, rakyat juga mahu melihat barisan bakal menteri yang diyakini mampu melaksanakan penyelesaian-penyelesaian itu.
Realiti kehendak pengundi kini sudah berubah. Ia bukan lagi soal KEADILAN/Pakatan Harapan dilihat lebih bersih (secara relatif) berbanding BN dan PN, kita juga perlu lebih cerdik dan cekap sebagai pentadbir dan bakal menteri.
Saya dan rakan-rakan mengambil risiko masuk pemilihan KEADILAN dengan bertarung berasaskan idea sebegini. Saya diberitahu anggota KEADILAN tidak akan dapat memahami mesej ini atau mereka lebih pentingkan soal peribadi dari gagasan idea.
Sejak dari awal, saya nyatakan bahawa sebagai parti yang ingin terus mempengaruhi perubahan politik negara, kita mesti yakin dengan kebijaksanaan rakyat. Jika kita gagal meyakinkan rakyat kali ini, maknanya usaha kita masih tempang dan belum cukup baik, bukannya rakyat yang tidak cerdik. Kita perlu kekal di landasan idea yang menghormati kebijaksanaan rakyat sehinggalah mereka yakin dengan idea dan keupayaan kita. Itu hanya akan berlaku jika kita menjadi sebuah parti yang lebih pintar, lebih agresif, lebih lincah, lebih cekap dan dibarisi pimpinan yang lebih muda dan bermutu.
Saya terterima kasih kerana hampir keseluruhan anggota akar umbi KEADILAN bersetuju dengan pendirian saya itu. Dalam sejarah pemilihan KEADILAN sejak penubuhannya, tidak pernah calon seorang Timbalan Presiden mendapat mandat yang sebegini besar – selain dari undi popular hampir 60%, lebih 80% dari semua cabang di seluruh negara telah meletakkan amanah sebagai Timbalan Presiden kepada saya.
Saya tahu ia bukanlah sebab anggota akar umbi KEADILAN lebih sukakan saya berbanding Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail. Saya tahu saya hanya seorang anggota biasa yang tidak berjawatan dan saya banyak kelemahan sendiri.
Anggota akar umbi KEADILAN memberikan mandat sebegitu besar kepada seorang anggota biasa yang tidak berjawatan kerana mereka mahu parti ini kembali kepada landasan reformasi yang membentuk parti. Saya faham bahawa seperti mana mereka memberi mandat kepada saya, mereka juga boleh menarik mandat itu sekiranya keputusan dan tindak tanduk saya selepas ini tidak mencerminkan aspirasi mereka.
Begitulah resam dalam ketuanan rakyat yang kita bawa selama ini. Kuasa itu datang dari rakyat dan setiap yang berniat untuk mencebur diri dalam politik wajiblah sentiasa mengingatinya.
Di atas kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota KEADILAN yang telah mempamerkan kematangan dalam melalui pemilihan kali ini. Saya menyeru supaya keseluruhan pimpinan KEADILAN di semua peringkat menerima dengan berlapang dada isyarat akar umbi yang telah dizahirkan di peti undi.
Saya juga berterima kasih kepada saingan saya Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail yang telah menghubungi saya lebih awal sebelum pun keputusan tidak rasmi keluar. Kami telah bersama-sama membina parti ini sejak 1998, bodohlah mereka yang beranggapan perbezaan pendapat kami sebelum ini boleh memutuskan keikhlasan dan kesetiaan kami kepada KEADILAN.
Saya juga akan menguruskan perjumpaan dengan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada kadar yang segera untuk memulakan urusan persediaan KEADILAN menghadapi PRU15 yang saya jangka akan dipanggil dalam beberapa bulan lagi. KEADILAN akan kembali kuat apabila keseluruhan anggota dari akar umbi ke Presiden bergerak dengan satu strategi dan masing-masing melaksanakan tugasan kita dengan berkesan.
Akhir sekali, saya wajib mengucapkan terima kasih kepada keseluruhan pasukan kempen saya di semua peringkat yang terdiri dari anggota akar umbi yang tidak berjawatan. Merekalah yang berkempen tanpa jemu di seluruh pelosok negara hingga berjaya menyatukan parti ini di bawah satu gagasan – iaitu kesediaan kita untuk masuk PRU15 tanpa ada sedikit pun kompromi atas prinsip dan maruah kita sebagai parti reformis.
Saya dan rakan-rakan yang diberi mandat dalam pemilihan ini tidak mampu membalas jasa dan penat lelah anggota akar umbi di seluruh negara. Jasa itu akan kekal sebagai hutang dan In Sha Allah saya akan sentiasa ingat bahawa hutang itu hanya akan langsai apabila kita berjaya membawa perubahan politik di negara ini sekali lagi.
BACA:
Akaun ASNB yang dipaut dengan Maybank2u akan hilang pada 18 Jun 2022 ini
Doktor jelaskan bahaya tarik rambut sampai bunyi, “bukan legakan sakit kepala..”
Amaran !!! Nadma keluar amaran ribut petir di KL dan negeri lain, banjir besar mungkin berlaku