Pada masa ini, kebanyakan rumah menggunakan penyaman udara untuk menyejukkan keadaan dalam rumah, lagi-lagi di kawasan bandar.
Hal ini kerana, negara kita terletak di kawasan tropika yang menyebabkan kita akan berdepan dengan iklim panas dan lembap sepanjang tahun
Sungguhpun begitu, ada juga yang masih menggunakan kipas angin, khususnya kipas siling untuk menyejukkan ruangan kediaman masing-masing.
Manakan tidak, selain daripada kos yang murah, kipas syiling membantu pengaliran udara bergerak dengan lancar dalam rumah anda.
Malah, Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (AS) memberi saranan untuk memasang penyaman udara bersama-sama kipas siling.
Namun tahukah anda bahawa putaran bilah kipas siling pada rumah anda boleh mempengaruhi tahap kepanasan dalam rumah. Jika arah putaran kipas yang tidak kena pada waktunya, anda sama ada akan merasa bahang ataupun sejuk yang melampau.
Bagi beberapa jenis model kipas siling, ada di antaranya yang menawarkan fungsi untuk menukar arah putaran kipas.
Untuk mengetahui arah putaran kipas yang bersesuaian dengan keadaan persekitaran anda, ikuti perkongsian di bawah.
Arah putaran kipas yang sesuai pada waktu cuaca panas?
Kipas siling pada musim panas sepatutnya berputar mengikut arah lawan jam bagi membenarkan bilahnya menolak udara sejuk ke bawah.
Hal ini kerana, kipas siling tidak menyejukkan ruang di dalam bilik seperti penyaman udara, sebalik menyejukkan penghuninya dengan memberikan aliran udara kepadanya.
Menurut Home Depot, pergerakan bilah mengikut arah lawan jam akan membantu pengedaran udara bagi menghasilkan efek ‘udara nyaman’.
Perkara ini juga boleh diaplikasi pada kipas-kipas yang diletakkan di kawasan luar rumah seperti, beranda, garaj dan sebagainya.
“Tapi, saya tak nak sejuk sangat masa malam atau masa tengah hujan?”
Pada hujung tahun atau musim tengkujuh pula, kita mengharapkan agar ruangan kediaman menjadi sedikit hangat. Secara logiknya, kita perlu menukar arah putaran bilah kipas pada arah jam bagi memastikan bilah kipas dapat ‘menggerakkan’ udara panas ke dalam rumah.
Manakala, kadar kelajuan putaran kipas perlu disetkan pada tahap rendah bagi memastikan aliran udara konsisten dalam rumah anda.
Home Depot menjelaskan, kipas-kipas pada siling berbentuk kubah seharusnya dibiarkan bergerak mengikut arah lawan jam. Hal ini kerana, ketinggian siling berkenaan menyebabkan penghuni sukar untuk merasa udara sejuk.
Selain itu, kipas pada ruang makan perlu ditetapkan mengikut arah jam pada kelajuan sederhana ataupun rendah. Ini adalah untuk mengelakkan makanan lebih cepat sejuk dan menerbangkan kertas tisu di atas meja.
BACA: Peguam ini dedah penipuan ejen penapis jenama ‘C’ salah guna maklumat pengguna demi keuntungan