Pusat Perlindungan buat keuntungan juta-juta jual bayi anak yatim dan wanita terlanjur. Beberapa pusat perlindungan yang menempatkan anak-anak yatim dan remaja hamil di negara ini didakwa mengaut keuntungan mencecah puluhan ribu ringgit dengan ‘menjual’ bayi baru lahir kepada individu yang mahu mendapatkan anak angkat secara segera.
Difahamkan, bayi baru dilahirkan itu akan diserahkan kepada pasangan terbabit dengan caj sekitar RM5,000 hingga RM20,000 seorang bergantung kepada keturunan, warna kulit, warna rambut selain keadaan fizikal seperti berwajah comel.
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Pengerusi (Operasi) Persatuan Kebajikan Anak Kami, Ku Noor Ammarah Ku Amir berkata, penjualan bayi itu dikesan berlaku di beberapa rumah perlindungan yang berselindung di sebalik aktiviti menjaga gadis-gadis terlanjur.
“Berdasarkan pemerhatian kami sejak lima tahun lalu di beberapa buah rumah perlindungan, memang wujud aktiviti menjual bayi kepada pasangan terdesak yang mahu mendapatkan anak angkat dengan segera.
“Ini merupakan jalan pintas buat mereka memandangkan proses untuk mendapatkan anak angkat melalui Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) agak sulit dan memerlukan masa yang lama,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut beliau, pihaknya pernah menghubungi beberapa rumah perlindungan kononnya ingin mencari anak angkat dan terkejut apabila pihak terbabit terus menawarkan harga bermula RM5,000 bagi seorang bayi.
“Harga bagi setiap bayi yang ditawarkan juga berbeza-beza mengikut fizikal dan ciri-ciri tertentu,” katanya.
Ku Noor Ammarah berkata, sekiranya bayi itu mempunyai kulit berwarna putih, bermata bulat dan berambut perang, harganya boleh mencecah RM15,000 kerana ia merupakan ciri-ciri fizikal yang diidamkan oleh kebanyakkan keluarga angkat.
“Selain itu, jika keluarga angkat ada menetapkan ciri-ciri tertentu kepada bayi tersebut, harganya juga akan meningkat sekitar RM500 untuk satu-satu permintaan.
“Contohnya, jika mereka mahukan bayi lelaki, harganya akan meningkat RM500. Kos tersebut juga tidak termasuk bayaran bersalin di hospital swasta dengan anggaran caj sekitar RM5,000 seorang,” jelasnya.
Menurutnya, gadis terlanjur yang dijaga di pusat perlindungan juga perlu bersalin di hospital swasta tertentu bagi membolehkan proses mengambil anak angkat dilaksanakan secara mudah dan terancang.
“Biasanya, ada hospital swasta tertentu yang bekerjasama dengan pusat penjagaan terbabit untuk memudahkan proses dokumentasi. Ini termasuk nama ibu kandung bayi akan ditukar kepada ibu angkat melalui dokumen ‘discharged note’.
“Jadi, bila nama telah ditukar, proses pendaftaran bayi akan dibuat oleh pihak keluarga angkat seterusnya membolehkan mereka memiliki cahaya mata dengan cepat,” jelasnya.
Sementara itu, seorang gadis yang pernah mendapatkan perlindungan di pusat penjagaan mendedahkan, ada beberapa individu hamil di luar nikah seperti dianiaya kerana tidak menerima sebarang bayaran selepas mereka menyerahkan anak.
Maryam, 25, (bukan nama sebenar) mengakui, dia melihat sendiri perkara itu selepas berada selama beberapa bulan di pusat penjagaan yang menguruskan gadis-gadis hamil di luar nikah.
“Ada seorang gadis memberitahu saya, dia tidak dapat melihat bayinya selepas bersalin, malah tidak menerima sebarang duit poket selepas menyerahkan anaknya.
“Selain itu, ada juga kes di mana gadis-gadis ditawarkan janji manis seperti penjagaan semasa berpantang selepas mereka menyerahkan bayi, namun ia tidak ditunaikan sehingga hidup mereka terabai,” ujarnya.
Katanya, rumah perlindungan itu turut menawarkan penjualan bayi kepada keluarga angkat dengan harga mencecah RM20,000 seorang jika mempunyai rupa paras menarik.
“Modus operandi mereka mudah kerana ramai pasangan mahu ambil anak angkat. Mereka akan pilih mana-mana gadis yang dimahukan dan membayar segala kos sehingga bersalin demi mendapatkan bayi pilihan.
“Ada kes dimana ibu bayi ialah Melayu dan ayahnya Pakistan, harga ditawarkan hampir RM20,000. Jika bayi yang lain, harga dikenakan bermula RM10,000,” katanya.
BACA:
Saya bosan hidup terlalu kaya macam ni – Raffi Ahmad
Nurul Izzah temui cinta baru, kahwin cina muslim
Siapa ‘skodeng’ boleh masuk penjara, kerajaan bentang RUU ‘menghendap’ di parlimen