“Poligami diharuskan kerana nafsu luar biasa suami”, Mukhriz bidas laman web kerajaan

“Poligami diharuskan kerana nafsu luar biasa suami”, Mukhriz bidas laman web kerajaan

Mukhriz Mahathir dari Pejuang mengkritik sebuah portal kerajaan berhubung artikel poligami dengan berkata, ia adalah antara sebab mengapa Islam disalah faham.

Menurut laman web MyGovernment, yang merupakan “gerbang rasmi kerajaan”, poligami diharuskan oleh Islam, antara lain, kerana suami mempunyai “dorongan nafsu syahwat yang luar biasa” sehinggakan isteri tidak dapat memenuhi keinginannya itu.

“Inilah antara sebab Islam disalah faham,” kata Ahli Parlimen Jerlun dan bekas menteri besar Kedah itu dalam catatan di Instagram.

Mukhriz, anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, juga tertanya-tanya di manakah senarai syarat yang akan dikenakan ke atas seorang lelaki yang mahu berpoligami.

Sebab lain poligami diharuskan yang dinyatakan laman web itu adalah kerana keadaan isteri sentiasa uzur atau sakit dan isteri tidak boleh mengandung atas sebab-sebab kesihatan.

Bukan Mukhriz seorang membangkitkan isu berkaitan artikel tersebut, dengan beberapa warganet di Twitter juga mengecam MyGovernment kerana tidak menyenaraikan syarat lain poligami.

Pada 2019, tinjauan kumpulan wanita Sisters In Islam (SIS) mendapati 70% responden bersetuju bahawa suami mempunyai hak untuk mengamalkan poligami, tetapi hanya jika suami boleh berlaku adil kepada semua isterinya.

Namun, hanya 32% daripada mereka yang ditinjau akan membenarkan suami mereka berkahwin lain.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/22/mukhriz-bidas-artikel-mengenai-poligami-di-laman-web-kerajaan/