Mahkamah Tinggi menolak permohonan difailkan tiga bekas penyokong Barisan Nasional (BN) untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung usul tambahan UMNO yang tidak mempertandingkan dua jawatan utama dalam pemilihan parti itu, tahun lalu.
Hakim Amarjeet Singh menolak permohonan itu atas alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes membabitkan hal dalaman parti politik.
Mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh dua ahli UMNO Cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid serta ahli MIC Lembah Pantai, P Vellasamy.
Tiga individu itu diwakili peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Saifuddin dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Menerusi permohonan kebenaran itu, ketiga-tiga individu itu menamakan Saifuddin, kerajaan Malaysia, RoS dan Umno selaku responden.
Mereka (ketika itu penyokong BN) memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Mac lalu.
Yang mana ia mengecualikan UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 menurut peruntukan Seksyen 70 akta sama.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa surat RoS bertarikh 3 Mac lalu yang mendapati bahawa usul tambahan UMNO yang diputuskan di PAU2022 adalah tidak teratur, bertentangan perlembagaan parti dan tidak sah.
Turut dipohon, ialah satu perisytiharan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO hendaklah dipertandingkan dalam masa 30 hari dari tarikh penghakiman.
Pemohon berkata, pada 13 Januari lalu, suatu usul tambahan UMNO dicadangkan ketika PAU 2022 pada 11 hingga 14 Januari lalu, berhubung ketiadaan pertandingan untuk dua jawatan utama pada Pemilihan Majlis Tertinggi Umno bagi penggal 2023-2026.
Pada 2 Mac lalu, RoS mengeluarkan surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung Umno bertajuk Pengesahan Berhubung Usul Tambahan Ucapan Dasar Presiden Di Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang ditandatangani Ketua Pengarah RoS.
Menurut mereka, dalam surat itu RoS mendapati usul tambahan UMNO yang diputuskan di perhimpunan agung parti itu adalah tidak teratur dan bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO, oleh itu ia adalah tidak sah.
Menurut pemohon, sewajarnya RoS mewajibkan UMNO untuk mengambil tindakan pembetulan untuk mematuhi Fasal 9.3 perlembagaan parti itu.
Tiga pemohon ini mendakwa, pada 7 Mac lalu, satu kenyataan media dikeluarkan oleh Saifuddin yang menyatakan bahawa kementeriannya memutuskan untuk memberi pengecualian menurut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 kepada Umno daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) akta sama.
BACA: Perasan tak kenapa bila hujan je kita tiba-tiba mengantuk? Ketahuilah ini puncanya
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio