PN mesti berani berubah dan cari penyelesaian konflik, tegur Nik Abduh

PN mesti berani berubah dan cari penyelesaian konflik, tegur Nik Abduh

Seorang pemimpin PAS mengingatkan Perikatan Nasional (PN) supaya berani berubah dan mencari jalan penyelesaian ketika konflik melanda gabungan itu kini susulan gesaan beberapa pimpinan Umno yang mahu parti itu menarik diri daripada pentadbiran kerajaan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata jika isu itu tidak diendahkan, tidak mustahil gabungan PN akan rebah.

“Tidak pelik kerajaan PN berada di ambang konflik besar hari ini. Ia cantik dan baru. Ketahanan politiknya pun belum teruji.

“Hak-hak antara pendiriannya masih belum disusun dan ditimbang dengan sebaiknya. Masing-masing sedang menuntutnya,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Umno berkata ia akan menentukan nasib hubungannya dengan PPBM dalam perhimpunan agung parti itu pada 31 Jan.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat semalam berkata, ia bersetuju membawa ke perhimpunan usul memutuskan hubungan dengan PPBM “semasa” menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), yang dibangkitkan “majoriti besar Umno bahagian”.

Perkembangan ini susulan sebahagian besar daripada 191 bahagian Umno dikatakan mendesak parti itu tidak lagi bekerjasama dengan PPBM pada PRU15 atas pertikaian mengenai kerusi yang menjadi rebutan kedua-dua parti itu.

Terdapat pelbagai isu ditimbulkan, seperti layanan PN terhadap Umno, namun isu perebutan kerusi dianggap paling genting kerana penganalisis melihat PPBM menyasarkan kumpulan pengundi dan kerusi yang sama dengan Umno.

Nik Abduh berkata, tiada mana-mana parti dalam gabungan PN yang harus dipersalahkan dalam isu itu. Baginya, setiap parti harus diberikan ruang dan peluang untuk membuat tuntutan.

“Jika kita bermula dengan menuduh yang menuntut itu bersalah, maka akan tertutuplah pintu keadilan bagi yang terasa dianiayai.

“Jika kita berat hati untuk ke proses timbang tara, itu pun menjadi kezaliman baru di atas tuduhan kezaliman awal. Itu tuntutan demi kelangsungan. Ubah atau rebah,” katanya.

Ahad lalu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata 143 daripada 191 bahagian Umno (74.8%) mengusulkan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada PRU-15.

Manakala PPBM menerusi kenyataan lewat malam tadi menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang tidak henti-henti mengatur langkah dalam percaturan politik ketika rakyat sedang dilanda wabak Covid-19 dan bencana banjir sebagai tidak kena pada masa.

Ia secara tidak langsung membidas desakan segelintir pihak dalam Umno, yang pada masa sama turut meminta supaya pilihan raya umum diadakan segera, sebelum berakhir suku pertama tahun ini.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/07/ubah-atau-rebah-nik-abduh-ingatkan-kerajaan-pn/

COMMENTS