Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK)
Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menunjukkan bahawa rakyat menolak budaya politik yang penuh dengan cercaan dan fitnah.
Menyifatkan keputusan PRK DUN Nenggiri sebagai mengejutkan, Anwar berkata rakyat telah melihat kemampuan UMNO
Dalam meraih sokongan daripada masyarakat Melayu dan Orang Asli di kawasan yang merupakan kubu Pas dan Bersatu di Kelantan.
“Dijangka calon UMNO dan Kerajaan Perpaduan menghadapi laluan sukar, tetapi keputusan ini mengejutkan.
Ini menunjukkan rakyat menolak politik yang penuh dengan maki hamun, cerca, dan fitnah.
“Kemenangan ini akan memberikan semangat baru kepada UMNO, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), dan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan untuk bekerja lebih keras dan yakin dengan pendirian kita.
“Insya-Allah, lambat laun rakyat, termasuk orang Melayu, akan menerima bahawa perubahan ini akan memberikan manfaat kepada mereka dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tuan rumah majlis makan tengah hari sempena kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah di sini hari ini.
Anwar juga mengucapkan tahniah kepada calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri dengan kemenangan majoriti besar sebanyak 3,352 undi.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh 9,091 undi, mengalahkan Mohd Rizwadi Ismail dari PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN), yang meraih 5,739 undi.
BACA: Azmil Mustapha berhenti berlakon, Alya Iman dedah pesanan arwah ayah