PMX akhirnya buka mulut beri respon calon yang bakal isi kekosongan jawatan Menteri

Oleh FAHMI ABBAS

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan diisi sekiranya ada calon sesuai.

Kekosongan jawatan itu berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Julai lepas

Dan penggantinya masih menjadi tanda tanya selain turut menimbulkan desas-desus akan berlaku rombakan Kabinet.

PMX akhirnya buka mulut beri respon calon yang bakal isi kekosongan jawatan Menteri

“Rombak Kabinet? Kena rombak ke? Untuk mengisi kekosongan? Bila ada calon sesuai,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri simposium The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia di sini hari ini.

Jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Mengenai dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin yang Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid daripada Perikatan Nasional (PN), diugut supaya menyokong kerajaan, Anwar mahu dakwaan disertakan dengan bukti.

“Yang saya tahu saya belum jumpa (Iskandar Dzulkarnain), saya belum ada menghubunginya, saya tak hantar wakil, tak tahu siapa yang ugut.

“Kalau ada bukti dia kata, keluarkan jangan pakai main bedal saja,” kata beliau serta menambah bahawa tuduhan berkenaan adalah serius dan patut disiasat sepenuhnya.

Sebelum ini, PN dilaporkan mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, akan didakwa atas kesalahan rasuah.

Ditanya mengenai sokongan Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu terhadap kepimpinannya, Anwar berkata beliau menghargai dan berterima kasih terhadapnya.

“Saya belum jumpa atau berhubung dengan beliau, tapi terima kasih di atas sokongan. Sama ada dia nak kekal dengan Perikatan Nasional adalah terpulang kepada dirinya,” kata beliau.

BACA: Wanita ini tidak dapat menahan sebak, duit simpanannya selama bertahun kerja dimakan anai-anai