PKPB : Ramai luah rasa kecewa dan keliru, termasuk pakar kesihatan

PKPB : Ramai luah rasa kecewa dan keliru, termasuk pakar kesihatan

Saya tidak faham mengapa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan seluruh negara kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis dan sehingga sebulan sekali gus.

Atas pertimbangan apa tindakan drastik ini diambil? Kecuali Sabah dan Labuan, saya tidak nampak sebarang perubahan ketara yang luar biasa dalam insiden kumulatif SAR-CoV-2.

Perubahan insiden mingguan SAR-CoV-12 di negeri-negeri yang terlibat juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara. Insiden mingguan di Melaka, Sarawak, Johor, Perak dan Terenganu terlalu rendah sampai tidak nampak, menyamai rendahnya insiden di Pahang dan Kelantan. Namun, tetap dikenakan PKPB.

Sekalipun jika dikeluarkan negeri “outlier” (Sabah & Labuan), insiden di Melaka, Sarawak, Johor, Perak dan Terengganu adalah rendah di bawah 5 per 100,000 penduduk seminggu.

Bagi yang faham ilmu epidemiologi, keputusan untuk melaksanakan PKPB berdasarkan angka sebegini adalah terlalu drastik dan keterlaluan. Malah, Kedah yang sudah menunjukkan tren penurunan yang signifikan turut dikenakan tindakan yang sama.

Hatta bagi Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, apakah PKPB menyeluruh seluruh negeri satu-satu jalan mengawal keadaan?

Apakah PKPP (dipertingkat) terhadap mukim atau kejiranan yang bermasalah tidak boleh dilaksanakan, yang sudah tentu memberi impak ekonomi yang lebih sederhana berbanding PKPB menyeluruh?

Timbul pertanyaan, apakah sebenarnya “end game” yang ingin dicapai melalui tindakan ini? Apakah kita mahu memutuskan langsung penularan virus ini dalam masyarakat melalui PKP?

Jika itu matlamatnya, saya katakan ia adalah sesuatu yang mustahil dicapai dalam tempoh enam bulan sekalipun, tanpa adanya vaksin dan ubat yang berkesan. Jika dilaksanakan selama enam bulan, saya jamin ekonomi Malaysia akan lumpuh.

Jika sekadar untuk menurunkan insiden, apakah paras insiden yang hendak dicapai? Jika insiden di Johor antara 0.2 hingga 1.5 per 100,000 penduduk seminggu sudah dianggap tinggi dan perlu melaksanakan PKPB, apakah angka yang hendak dicapai sebelum PKPB boleh ditamatkan, 0.5 per 100,000 penduduk?

Penentuan “end game” ini amat penting bagi mengukur kejayaan sesuatu tindakan. Rasional bagi penetapan angka ini mesti berasaskan bukti (evidence-based public health intervention).

Mungkin ada bukti-bukti epidemiologi yang hanya kerajaan saja yang tahu dan tidak boleh dikongsi dengan umum. Saya berharap ia benar-benar bukti yang kukuh.

Saya juga berharap, kerajaan mengambil kira keberkesanan kos bagi setiap strategi yang dilakukan. Saya dan beberapa pakar kesihatan awam lain telah berulang berulang kali mencadangkan agar dikaji semula kaedah mengurus wabak ini.

Keberkesanan kos wajar dijadikan landasan dalam membuat keputusan. Kaedah yang lebih kos-efisien mengelakkan pembaziran bagi mencapai hasil yang sama.

Lebih berat, jika rakyat sudah tekun melaksanakan SOP solat berjemaah, apakah kewajarannya ditutup semua masjid termasuk di kawasan tidak bermasalah? Sejak PKP yang lalu, dan selepas masjid Sri Petaling, di masjid mana telah berlaku kluster Covid-19?

Kita cukup sensitif, hanya satu kes di kalangan jemaah, seluruh masjid ditutup sedangkan tiada kluster yang terjadi. Dan kini berdasarkan SOP PKPB, seluruh negara kecuali di tiga negeri ini, aktiviti ibadah berjemaah dihentikan untuk tempoh sebulan lagi (kami di Lembah Klang dah nak masuk bulan ketiga). Allah menguji siapa sebenarnya?

Saya terpanggil membangkitkan isu ini kerana saya mempunyai sedikit ilmu dalam bidang epidemiologi penyakit berjangkit dan saya mempunyai keraguan mengenai kewajaran tindakan menutup masjid di negeri-negeri terlibat di bawah PKPB sekarang ini.

Saya dengan ini menyuarakan pandangan saya dan berlepas tangan dari keputusan yang diambil. Moga Allah mengampuni dan melindungi saya dan kita semua.

Sekadar memberi pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak.

 

*PROF DATUK DR LOKMAN HAKIM SULAIMAN merupakan pakar dalam bidang epidemiologi penyakit berjangkit.

 

Artikel penuh : https://malaysiadateline.com/apa-perlunya-negeri-terlalu-rendah-kes-covid-19-pun-kena-pkpb/

COMMENTS