PKP : Sekarang masih mood nasihat, Sabtu tindakan tegas mula diambil – Menteri

Oleh MHDAILY

Polis tidak akan berkompromi, sebaliknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mahu merentas negeri terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula Sabtu ini.

Sejak PKP dilaksanakan kembali semalam, pihak berkuasa masih dalam ‘mood’ memberi nasihat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kompaun akan dikenakan secara terus di lapangan kepada individu yang didapati melanggar perintah ditetapkan.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

“Bagi tempoh tiga hari sehingga esok, kita (kerajaan) masih dalam ‘mood’ memberi nasihat dan tiada tindakan dikenakan ini kerana mungkin sebahagian besar rakyat terlupa selepas kita bebas daripada PKP tahun lalu.

“Namun selepas esok, polis tidak akan berkompromi lagi dan akan terus mengambil tindakan,” kata dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, berdasarkan pemerhatian di sekitar pusat bandaraya, jumlah kenderaan tidak banyak dan tidak sesibuk seperti sebelum ini berkemungkinan semua masyarakat patuh dengan arahan diberikan.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta Selangor, Johor dan Pulau Pinang bermula Rabu lalu sehingga 26 Januari ini.

Kerajaan turut mengumumkan pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan di seluruh negara, selain turut melarang pergerakan rentas daerah.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, ketua jabatan perlu mempertimbangkan sistem penggiliran dan bekerja dari rumah kepada ibu bapa yang berkerja dalam perkhidmatan perlu (essential services) agar dapat memantau anak-anak di peringkat sekolah rendah semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara talian.

“Walaupun dinyatakan essential service kehadiran 100 peratus, surat arahan daripada Ketua Perkhidmatan Awam turut menyatakan ketua jabatan boleh menentukan kehadiran pegawai diperlukan bertugas di pejabat ada satu-satu masa,” katanya.- BH