Semalam, sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) terpaksa membuat pendaratan cemas di Bangkok selepas mengalami gelombang udara yang hebat semasa melintasi ruang udara Myanmar.
Menurut laporan Sinar Harian, terdapat 16 warga Malaysia di dalam penerbangan SQ321 dari London ke Singapura.
Salah seorang penumpang Malaysia, Dzafran Azmir, 28 tahun, berkongsi pengalaman mengerikan itu kepada portal mStar.
“Pesawat tiba-tiba menjunam sehingga penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar tercampak ke atas bahagian siling pesawat.
“Ada yang terhantuk kepala di kabin bagasi sehingga bahagian tersebut kemek. Mereka juga tercampak ke pelbagai ruang, lampu serta topeng oksigen terkeluar dan pecah.
“Telefon bimbit saya terlepas dari genggaman dengan barangan lain seperti kasut, yang berselerak akibat gegaran itu,” katanya.
Menurut pelajar tersebut, kejadian itu berlaku kira-kira tiga jam sebelum pesawat mendarat di Singapura. Dia merasakan pesawat tidak stabil sebelum mengalami gegaran yang hebat.
Tambahnya lagi, kru dan penumpang yang berada dalam tandas terkesan paling dalam insiden tersebut.
“Kru dan penumpang dalam tandas terkesan kerana selepas pendaratan, kami dapati mereka tidak dapat bangun, ramai yang mengalami kecederaan di kepala dan tulang belakang.
“Kapten memberitahu kami tentang pendaratan cemas di Bangkok. Setibanya di landasan, jururawat dan penyelamat datang untuk memberikan bantuan kepada yang cedera,” katanya.
Sementara itu, melalui kemas kini media sosial, Singapore Airlines mengumumkan bahawa sebuah penerbangan bantuan dengan 143 penumpang dan anak kapal dari SQ321 telah tiba di Singapura pagi ini pada jam 5.05 pagi.
Sebanyak 79 penumpang dan enam anak kapal dari SQ321 masih berada di Bangkok, termasuk mereka yang sedang menjalani rawatan perubatan serta ahli keluarga.