Pesawat Indonesia disyaki terhempas

Pesawat Indonesia disyaki terhempas

Pesawat komersial Sriwijaya Air SJ182 yang dalam penerbangan dari Jakarta ke Pontianak, Indonesia dilaporkan hilang dari radar pada Sabtu, lapor portal berita Detik.com.

Pesawat model Boeing 737 tersebut dilaporkan terputus hubungan pada jam 2.40 waktu tempatan ketika melintas ruang udara di daerah Kepulauan Seribu, Jakarta.

“Saya dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta dan masih memeriksa data-data berkaitan.

“Saya akan maklumkan perkembangan terkini nanti,” kata Pengurus Perhubungan Awam Airnav Indonesia, Yohanes Sirait ketika diminta pengesahan.

Maklumat awal menyatakan bahawa pesawat berkenaan membawa 56 penumpang yang terdiri daripada 46 orang dewasa, tujuh kanak-kanak dan tiga bayi.

Pesawat itu dijadual berlepas dari Jakarta sekitar jam 1.30 petang waktu tempatan.

Belum dapat dipastikan jumlah penumpang dan krew dalam pesawat berkenaan.

Menurut pemantauan laman FlightRadar24, pesawat itu terputus hubungan di kedudukan 11 batu nautika di luar garis pantai Jakarta ketika menanjak dari ketinggian 11,000 kaki menuju ke 13,000 kaki.

Begitupun, catatan di laman tersebut menunjujkkan kedudukan pesawat berkenaan tiba-tiba saja berubah ke ketinggian 8,950 kaki, dan jatuh ke 5,400 kaki, hingga terakhir di 250 kaki, sebelum terputus hubungan.

Masih terlalu awal untuk memperincikan nasib pesawat berkenaan, namun pada saat ini proses siasatan sudah dimulakan dan pihak Kementerian Pengangkutan negara itu sedang berkoordinasi dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) serta Jawatankuasa Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT).

Maklumat dari Basarnas menyatakan, mereka mengenal pasti isyarat kecemasan di sekitar Pulau Laki dan Pulau Lancang.

Dalam perkembangan berkaitan, sekitar jam 6 petang waktu tempatan, saluran berita Kompas TV sudah melaporkan tentang penemuan ‘serpihan’ di perairan Kepulauan Seribu.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-dunia/pesawat-sriwijaya-air-dilapor-hilang-dari-radar-276886

COMMENTS