Perutusan negara disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam kelmarin telah menghimpunkan segala resipi
Dan ramuan yang diperlukan untuk memeta semula hala tuju negara dalam bidang ekonomi, sosial, serta politik.
Amanat penting yang dinyatakan oleh Perdana Menteri juga mempunyai visi yang jelas mengenai bagaimana untuk mengukuhkan semula
Tunjang kekuatan negara melalui strategi ‘meluruskan semula yang bengkok’, ‘mengilatkan yang karat’, serta menyingkirkan apa yang tidak perlu.
Perdana Menteri tidak segan silu berharap agar seluruh lapisan masyarakat cakna, sedar,
dan bersedia untuk bersama-sama dengan beliau serta kerajaan bagi menjayakan aspirasi yang digelar sebagai MADANI.
Boleh dikatakan bahawa apa yang dirancang oleh Perdana Menteri ini ibarat ‘dayung sudah di tangan, perahu sudah di air’. Kini, Kerajaan MADANI hanya memerlukan ‘pendayung’ terbaik untuk bersama-sama dengan nakhoda bagi menyusur ‘perahu MADANI’ bergerak ke garisan penamat.
Oleh itu, pemilihan pendayung perlu dilakukan dengan teliti dan ketat bagi memastikan mereka patuh kepada arahan, akur kepada rentak dayungan yang dikehendaki, dan mendayung secara serentak seiring dengan perintah nakhoda bagi memastikan momentum pergerakan perahu konsisten menempuh arus.
Sudah tentu, perjalanan perahu ini akan menempuh arus yang bervariasi, ada kalanya dalam keadaan air tenang, tetapi tidak selamanya akan menikmati kesenangan. Mungkin juga akan berdepan dengan cabaran seperti hujan, ribut, dan taufan.
Atas faktor ini, Perdana Menteri memerlukan satu pasukan yang mampu untuk menjayakan visi dan misi yang dirancang oleh beliau. Ini menuntut kerjasama penuh dari semua kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan serta penjawat awam yang tulus ikhlas sebagai ‘pendayung’ yang diharapkan.
Tanpa sokongan padu dan menyeluruh dari penjawat awam, tidak mungkin sesuatu dasar, pelan, dan perancangan kerajaan dapat direalisasikan. Oleh itu, Perdana Menteri sangat menitikberatkan agenda memerangi rasuah sebagai agenda utama kerajaan. Sebarang ketirisan, kebocoran dana awam, dan penyelewengan hanya akan menghalang harapan kerajaan ini.
Pada masa yang sama, komuniti dan pertubuhan ekonomi serta perniagaan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili semua pemegang taruh, kaum, serta agama perlu bersama-sama dengan kerajaan untuk mencapai aspirasi MADANI, bukan sekadar menjadi ‘tukang sorak’ yang gembira jika ‘perahu ini’ berjaya mencapai garisan penamat tetapi mengkritik jika gagal menjadi juara.
Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk kerajaan terpaksa membuang masa dengan menguruskan politik persepsi dan menangkis politiking yang tidak berkesudahan. Demokrasi berperlembagaan yang menjadi asas keutuhan negara tidak seharusnya dipermainkan dalam tempoh kritikal ini, sekurang-kurangnya sehingga 2026 atau 2027.
Kita memerlukan tempoh yang signifikan untuk memulihkan kembali ekonomi, menstabilkan negara, dan melindungi segala kepentingan rakyat ketika berdepan dengan situasi yang tidak menentu ketika ini, bukan kacau gangguan yang tidak berkesudahan.
BACA: Masih hidup tapi wanita ini dah ada kubur sendiri, rupanya ini yang kena tanam