Peruntukan berbeza-beza, politik balas dendam semakin menjadi-jadi

Peruntukan berbeza-beza, politik balas dendam semakin menjadi-jadi

Kenyataan berbeza berkaitan agihan peruntukan bagi setiap ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan baru-baru ini menggambarkan politik balas dendam semakin membarah dalam sistem politik negara.

Ketua Srikandi PKR Terengganu, Yuslaini Azmi berkata, situasi itu harus dihentikan demi kematangan politik dalam sesebuah negara.

“Sebagai anak muda yang baru berjinak dalam dunia politik, saya kesal dengan beberapa perkara. Baru-baru ini, pembangkang membuat kenyataan tidak mendapat peruntukan yang sama seperti kerajaan walhal ketika mereka berkuasa mereka juga gagal berlaku adil kepada pembangkang.

“Isu ini pernah diutarakan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang menyatakan apa yang berlaku hari ini terjadi kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri gagal memperbetulkan keadaan.

“Sama seperti apa yang dikatakan Ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar iaitu jika dahulu kerajaan PH melakukan hal yang sama, perkara ini tidak sepatutnya ‘didendangkan’ lagi,” katanya di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, katanya, beliau mengajak anak muda supaya merentasi parti dan belajar dari kesilapan senior politik negara.

“Jika hal ini berlanjutan, rakyat akan muak dan melihat semua pihak sama sahaja. Kedua-dua pihak melakukan hal yang salah dan sebagai anak muda saya cuma mengharapkan wajah baharu dalam arena politik tidak melakukan hal yang sama.

“Kita perlu menunjukkan politik matang bukan politik toksik dan balas dendam seperti ini jika ingin maju ke hadapan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyatakan beliau tidak mendapat walau satu sen pun peruntukan berbanding Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang mendapat RM100,000 serta ahli Parlimen kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lain didakwa mendapat lebih daripada itu.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/122830/BERITA/Politik/Politik-balas-dendam-semakin-membarah