Pertikaian kerusi di Johor, PN ibarat retak menanti belah

Pertikaian kerusi di Johor, PN ibarat retak menanti belah

Kerajaan Johor yang dibentuk di negeri ini melalui gabungan Perikatan Nasional (PN) boleh dianggap retak menanti belah.

Perkara itu jelas berdasarkan kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamad yang mempertikaikan rakannya dalam PN berhubung pembahagian kerusi di negeri ini.

Lantaran itu, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Abdul Hamid Jamah berkata sebuah kerajaan tidak dapat berfungsi dalam keadaan komponen parti masing-masing masih menyimpan syak wasangka antara satu sama lain.

“Ini bukan kerjasama yang baik. Ini hanya sandiwara, kawan makan kawan.

“Sikap Nur Jazlan yang kebudak-budakan ini akan menghasilkan perpecahan sedangkan beliau perlu mengambil berat soal rakyat, bukan sibuk dengan urusan politik.

“Sampai bila perkara ini nak selesai? Bagaimana dengan rakyat di bawah naungan mereka?

“Sekiranya berpolitik memikirkan diri sendiri ini tidak selesai, pasti kerja untuk rakyat tidak dapat dijalankan dengan baik.

“Rakyat akan mendapat hasil yang baik sekiranya kerajaan itu utuh. Kini apa yang kita lihat mereka tak habis-habis bergaduh,” katanya.

Hamid turut merakamkan rasa simpati kepada bekas komponen Pakatan Harapan (PH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang setiap hari dilanyak Umno dalam gabungan PN.

Tambahnya, Pengerusi UMNO Johor Datuk Hasni Mohamad perlu menunjukkan sikap serta bersuara dalam hal ini bukan berdiam diri dengan memberikan kesempatan kepada timbalannya terus-menerus menghentam Bersatu.

“Apakah suara Nur Jazlan itu mewakili Umno Johor seluruhnya? Sekiranya perkara itu sahih maka Bersatu harus memilih jalan untuk menyelesaikan perkara tersebut atau berundur diri dari PN.

“Bersatu juga harus menunjukkan sikap serta prinsip agar rakyat di bawah ini lega dengan keutuhan kerajaan sebagai pelindung mereka di negeri ini.

“MB juga tidak perlu berdiam diri kerana beliau merupakan Pengerusi Umno Johor dan beliau seharusnya mengeluarkan kenyataan yang konkrit bukan berselindung dan menutup rapat mulutnya. Rakyat memerlukan kerajaan yang stabil bukan kerajaan yang retak menanti belah.

“Sekiranya perkara ini berterusan pastinya yang menjadi mangsanya hanyalah rakyat. Kestabilan politik amatlah penting untuk penerusan agenda bagi sesebuah kerajaan,” tegasnya lagi.

Johorkini

Berita penuh : https://www.johorkini.my/sibuk-berebut-kerusi-kerajaan-pn-di-johor-ibarat-retak-menanti-belah/

COMMENTS