Persatuan Pengguna cadang kerajaan perkenal cukai makanan tak sihat pula

Oleh FAHMI ABBAS

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah meminta pihak berkuasa untuk melaksanakan cukai ke atas

makanan tidak sihat sebagai langkah untuk mengatasi masalah obesiti dan isu kesihatan yang berkaitan di negara ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, menyatakan bahawa gesaan ini dibuat berikutan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan

(NHMS) 2023 yang menunjukkan rakyat Malaysia sedang menghadapi krisis kesihatan penyakit tidak berjangkit (NCD), dengan peningkatan individu yang mengalami berat badan berlebihan dan obesiti.

“Salah satu kebimbangan utama ialah kesan produk makanan dan minuman ultra proses (UPF) terhadap penambahan berat badan dan risiko beberapa NCD seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, dan kanser.

Persatuan Pengguna cadang kerajaan perkenal cukai makanan tak sihat pula

Banyak makanan ultra proses mengandungi tenaga, gula tambahan, natrium, dan lemak tidak sihat yang tinggi tetapi rendah serat, protein, serta mikronutrien. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, terdapat peralihan ketara dari makanan lengkap atau diproses secara minimum kepada UPF,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa peralihan ini didorong oleh perubahan dalam sistem pembuatan dan pengedaran makanan, peningkatan pemasaran UPF, perubahan gaya hidup yang meningkatkan permintaan untuk makanan mudah, dan faktor ekonomi yang menjadikan UPF lebih berpatutan serta mudah diakses.

Mohideen memetik analisis penilaian sejawat baru oleh Imperial College Business School yang menunjukkan bahawa pelaksanaan cukai ke atas makanan yang tinggi kandungan lemak, garam, atau gula (HFSS), termasuk UPF, boleh mengurangkan penjualan, pembelian, dan pengambilan makanan tersebut.

Sehingga kini, 16 negara telah melaksanakan cukai tersebut. Di Mexico, cukai lapan peratus ke atas makanan yang tidak penting dan padat tenaga, termasuk gula-gula, coklat, bijirin bergula, kerepek, dan snek masin, telah menyebabkan pengurangan sebanyak 18 peratus dalam jualan di pasar raya, dan pengurangan sehingga 40 peratus di peruncit lain.

“Berdasarkan senario ini, CAP menggesa kerajaan untuk melaksanakan cukai ke atas semua jenis makanan tidak sihat dan membangunkan rancangan jangka panjang dengan insentif. Kami juga mencadangkan agar inisiatif dasar makanan seperti melanjutkan cukai gula untuk merangkumi semua makanan tinggi gula, bukan hanya minuman manis dan minuman pracampuran,” tambah Mohideen.

Selain itu, beliau mencadangkan cukai ke atas makanan ultra proses seperti mi segera, makanan ringan, dan produk daging yang diproses, serta mencadangkan pembangunan dan penguatkuasaan peraturan lebih ketat mengenai pelabelan makanan agar pengguna dapat mengenal pasti kandungan pemakanan produk yang mereka beli dengan mudah.

Mohideen juga menyarankan kerajaan menyediakan subsidi untuk makanan sihat, segar, atau diproses secara minimum kepada isi rumah berpendapatan rendah

serta menjalankan kempen pendidikan dan kesedaran untuk memaklumkan pengguna tentang bahaya pengambilan makanan ultra proses yang tinggi dan menggalakkan tabiat pemakanan sihat.

BAca: “Bapa aku kantoi nikah di siam dengan mak aku, rupanya ibu punca segalanya”