Persatuan pemandu van mahu PKP yang lebih ketat

Persatuan pemandu van mahu PKP yang lebih ketat

Sebuah persatuan pemandu van meminta sekatan yang lebih ketat dikenakan di bawak perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua yang sedang berkuat kuasa ketika ini.

Jelas Pengerusi Persatuan Pemandu Van Kuala Lumpur dan Selangor, Simon Sim, ini kerana PKP 2.0 yang masih membolehkan beberapa sektor ekonomi untuk terus beroperasi, tidak berkesan dalam mengendalikan wabak ini.

“Hanya penutupan aktiviti ekonomi seperti yang berlaku semasa PKP 1.0 berjaya dan berkesan dalam memutuskan rangkaian penyebaran penyakit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, SOP di bawah PKP kali ini agak longgar dan tidak diambik serius oleh banyak pihak.

Kata Sim, dia memahami bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan aspek ekonomi dalam menangani Covid-19.

Katanya, dia sendiri terpaksa menjual dua unit kenderaan demi kelangsungan perniagaan dan kehidupan.

Namun dia yakin bahawa industri ini akan pulih semula.

Gesaan Sim hadir di tengah-tengah spekulasi bahawa kerajaan mungkin menutup lebih banyak sektor ekonomi kerana keadaan pandemik tidak menunjukkan perubahan ketara meski PKP dilanjutkan sehingga 4 Februari.

Surat yang didedahkan oleh Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (Eurocham Malaysia) mengungkapkan bahawa Putrajaya akan mengumumkan penutupan penuh ekonomi selepas 4 Februari, sekiranya jumlah kes Covid-19 di negara ini terus meningkat.

Malaysiakini bercakap dengan sumber Eurocham yang mengesahkan kesahihan surat itu tetapi mengatakan bahawa surat itu ditujukan untuk kegunaan dalaman anggotanya sahaja.

Sehingga semalam, 667 orang di negara ini terkorban akibat Covid-19. Kes baru setiap hari semalam juga mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 4,275 jangkitan. – MK

COMMENTS