Perodua Alza baharu dilancar, harga buat orang ramai tak senang duduk. Pertubuhan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) serba baharu, Perodua Alza yang ditawarkan pada harga bermula RM62,500.
Perodua Alza serba baharu yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu dijual secara rasmi pada harga RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk varian H dan RM75,500 untuk varian AV (harga di Malaysia Barat dan tanpa insurans).
Model MPV yang amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia itu telah dibangunkan dengan pelaburan RM770 juta sejak April 2018.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata PERODUA Alza serba baharu menerima lebih 30,000 tempahan sejak pembuat kereta kompak itu membuka tempahannya pada 23 Jun lalu, tertinggi dalam sejarah jenama itu.
Katanya, faktor lain adalah daya tarikan nilai keseluruhan pakej Perodua Alza serba baharu termasuk ciri keselamatan yang dipertingkatkan seperti enam beg udara, ciri ‘Bantuan Keselamatan Termaju’, tawaran digital yang dipertingkatkan, ruang yang luas dan keselesaan pemanduan yang lebih baik.
“Pencapaian ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah pelanggan ingin memanfaatkan sepenuhnya inisiatif pengecualian cukai jualan yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu.
“Daripada lebih 200,000 tempahan yang kami terima buat masa ini, hampir 15 peratus adalah model Perodua Alza serba baharu,” katanya ketika majlis perasmian Perodua Alza serba baharu di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Presiden Daihatsu Motor Co, Soichiro Okudaira.
Zainal Abidin berkata, hampir 4,000 pelanggan telah menukar tempahan Perodua Alza kepada versi terkini walaupun sebelum pembukaan tempahannya diumumkan secara rasmi.
“Bermula hari ini, beberapa pelanggan kami akan menerima Perodua Alza serba baharu mereka daripada 195 bilik pameran jualan sah di seluruh negara.
“Selain itu, kami memberi jaminan kepada pelanggan yang menempah Perodua Alza serba baharu pada atau sebelum 30 Jun, mereka akan menerima kenderaan sebelum tarikh akhir 31 Mac 2023,” katanya.
Bagi mereka yang menempah Perodua Alza serba baharu pada atau sebelum 30 Jun 2022 dan menerima kenderaan mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023 akan menikmati harga yang lebih rendah kerana mereka layak untuk inisiatif pengecualian cukai jualan.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa semua kenderaan yang ditempah pada atau sebelum 30 Jun masih boleh menikmati inisiatif pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka didaftarkan pada atau sebelum 31 Mac 2023.
Perodua Alza serba baharu dibangunkan menerusi platform Daihatsu New Generation Architecture (DNGA) yang menawarkan kelebihan seperti ruang kabin yang lebih luas, pemanduan yang lebih baik serta ‘ground clearance lebih tinggi sebanyak 160 mm.
MPV tujuh tempat duduk ini mempunyai pilihan enjin tunggal iaitu enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang menjana 105 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm.
Dengan transmisi jenis D-CVT, ia dikatakan mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 22 kilometer seliter (km/l).
Sebagai tambahan, tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Power disertakan pada varian AV untuk memberikan prestasi pemanduan yang lebih memuaskan.
Dari segi kelengkapan, setiap varian Alza dilengkapi dengan lampu depan LED dengan fungsi Follow-Me Home & Leaving Home serta lampu belakang LED.
Rim didatangkan dalam saiz 15 inci untuk varian X, dan 16 inci untuk H dan AV.
Terdapat lima warna menarik yang ditawarkan iaitu Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, serta dua warna baharu iaitu Elegant Black dan Vintage Brown.
Menjengah ke dalam kabin, model ini hadir dengan paparan audio berukuran sembilan inci dan kluster instrument TFT tujuh inci pada varian H dan AV, port USB pada bahagian depan dan belakang, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, stereng multifungsi dan upholsteri kulit dua tona (AV sahaja).
Satu lagi penambahbaikan ketara yang dibawa oleh model serba baharu ini adalah aspek keselamatan, apabila ketiga-tiga varian didatangkan standard dengan ciri Advanced Safety Assist (ASA) terkini yang merangkumi Pre-collision Warning, Pre-Collision Assist Brake (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan Front Departure Alert.
Bukan itu sahaja, semua varian Alza juga mendapat ciri bantuan pemanduan lain seperti Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Hill Start Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Control dan Blind Spot Monitor.
Bantuan untuk parkir pula terdiri daripada 360 Panoramic View Monitor, Rear Cross Traffic Alert, kamera undur, sensor sudut depan dan sensor sudut belakang.
Ciri-ciri keselamatan lain yang ada termasuk enam beg udara, brek cakera belakang, ABS dengan EBD, serta Vehicle Stability Control dengan Brake Assist.
BACA:
Majlis kahwin jadi huru-hara, ombak besar ‘bantai’ tetamu yang hadir
Kelibat ‘Penanggal’ berjaya dirakam di Terengganu, kelam-kabut satu kereta
Cover lagu trend, Ismail Izzani buat hati semua gadis cair
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio