Pas mengumumkan bahawa bekas ahli Bersatu yang juga pernah menjadi sebahagian daripada pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyertai parti itu secara rasmi.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, berkata kedua-dua figura tersebut adalah sahabat lama dan sentiasa berhubung walaupun mempunyai perjuangan politik yang berbeza.
“Alhamdulillah, akhirnya mereka bergabung dengan keluarga besar Pas. Parti ini terbuka kepada sesiapa yang mahu bersama dan tidak pernah memaksa untuk turut serta.
“Pas hanya mengajak orang menyertai perjuangan tanpa menjanjikan bulan dan bintang.
Mereka yang menyertai Pas pasti memahami hal ini.
“Insya-ALLAH, mereka akan memahami dasar dan agenda perjuangan parti. Semoga mereka istiqamah dalam perjuangan Pas,” katanya melalui satu hantaran di laman sosial Facebook pada hari Ahad.
Penyertaan Mohamad Ezam dan Mazlan diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada Muktamar Pas kali ke-70 yang diadakan di Kompleks Al-Makmur Kerdau, Temerloh, Pahang.
Sebelum ini, Mohamad Ezam merupakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada peringkat awal penubuhan PKR. Beliau meninggalkan UMNO dan menyertai PKR selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.
Mohamad Ezam kemudian kembali ke UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-12 dan sekali lagi meninggalkan parti itu sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Tidak lama selepas menyertai Bersatu, beliau mengumumkan keluar daripada parti tersebut dan menubuhkan sebuah parti baru yang dikenali sebagai Parti Bebas Rasuah.
Selepas beberapa bulan, Mohamad Ezam meninggalkan parti yang ditubuhkannya dan memberi tumpuan kepada badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Hisbah, yang diasaskan beberapa tahun sebelum itu.
Pada tahun 2020, Mohamad Ezam kembali ke pangkuan PKR selepas menerima permintaan daripada akar umbi yang mahukan beliau membantu parti.
Sementara itu, Mazlan adalah calon BN pada PRU13 yang bertanding menentang Anwar dan calon bebas, Abdullah Zawawi Samsudin. Pada pilihan raya itu, Mazlan memperoleh sebanyak 25,369 undi, namun tewas kepada Anwar yang meraih 37,090 undi.
BACA: ‘Manusia hanya merancang..’ Elak fitnah, Nora dedah rujuk semula selepas sebulan cerai