Pernah menjadi kegilaan, tarian ini pernah jadi punca suami lupakan isteri di Kedah

Oleh ABD RAZAK SALLEH

Masyarakat Melayu kita sejak dahulu mempunyai warisan tarian dan joget tersendiri, termasuklah Tarian Zapin,

Mak Yong, Tarian Asyik, dan Joget Ronggeng yang sering menjadi hiburan di kenduri-kenduri kahwin.

Namun, apa yang menarik perhatian hari ini adalah sebuah joget yang berasal dari Siam.

Joget ini menjadi fenomena di kalangan penduduk Alor Setar pada tahun 1960-an. Joget tersebut ialah…

Tarian Rambong kini terkenal sebagai satu warisan budaya. Imej dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Pernah menjadi kegilaan, tarian ini pernah jadi punca suami lupakan isteri di Kedah

Kisah ini diceritakan oleh wartawan veteran, Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin dalam bukunya: ‘Mahathir Bukan Kawan Saya’. Pada awal 1960-an, ramai anak muda di Alor Setar sering pulang lewat malam dan terkadang lupa dengan rumah.

Lebih teruk lagi, ramai suami yang lupa akan tanggungjawab keluarga mereka disebabkan oleh kecanduan Joget Rambong yang sedang melanda Alor Setar pada masa itu.

Kontroversi Rambong ini begitu besar – sehingga ada guru-guru, kakitangan kerajaan, peniaga, penarik beca, dan sebagainya terpesona dengan penari Rambong.

Rambong merupakan salah satu tarian popular di kalangan masyarakat Siam Kedah/Perlis dan sering dipersembahkan dalam majlis keramaian.

Tarian ini juga diilhamkan oleh perayaan Loy Krathong di mana penari akan menggunakan krathong yang dihias cantik. Yang membuat tarian ini menarik adalah adegan permainan cinta antara pemuda-pemudi semasa menyambut perayaan Loy Krathong.

Pada Jun dan Julai 1960, minat terhadap Rambong meningkat di Alor Setar, di mana banyak lelaki berkunjung ke Taman Hiburan Alor Setar untuk menonton Rambong.

“Mereka melihat sendiri upacara puja yang dilakukan oleh penari-penari Rambong itu dan selesai saja mereka pun meluru masuk ke dewan tarian, sama ada menari ataupun memanggil penari-penari itu menari dihadapan mereka. Pokoknya mereka mesti menyaksikan penari-penari itu setiap malam.” – Zainuddin Maidin, dari bukunya: Mahathir Bukan Kawan Saya.

Namun, apa yang membimbangkan adalah bahawa penonton Rambong ini seolah-olah tidak sedar diri – ada yang sanggup berbelanja besar kerana terpengaruh dengan Rambong. Malah ada yang sanggup berhutang, mencuri, dan melakukan pelbagai perkara tidak bermoral semata-mata untuk menonton Rambong setiap malam.

Oleh kerana kecintaan kepada Tarian Rambong – banyak yang mengalami kebankrapan termasuk ahli perniagaan dan peniaga kayu; malah ada pegawai kerajaan yang dikenakan tindakan disiplin kerana terlalu banyak menghabiskan masa menonton Rambong.

Ini menyebabkan kebimbangan seorang peniaga tempatan, Pak Teh, yang perniagaan jogetnya hampir bangkrut kerana tontonan hangat Rambong Siam.

Pak Teh kemudiannya berjumpa dengan MB Kedah ketika itu, Tan Sri Syed Omar Shahabuddin untuk mengadu masalahnya. Walau bagaimanapun, Pak Teh kemudiannya menarik balik bantahannya terhadap Rambong apabila pihak sana bersetuju untuk memberikan komisen kepadanya atas jualan minuman di Pesta Rambong.

Kes ini menarik perhatian Kaum Ibu UMNO Kedah yang mengadakan mesyuarat untuk menangani masalah ini. Ketua mereka, Hamidah Bahari menyatakan ketidaksetujuannya terhadap keadaan ini dan bantahannya disiarkan dalam akhbar Utusan Melayu. Ini kemudiannya mengakibatkan tekanan ke atas kerajaan negeri Kedah untuk menghentikan Pesta Rambong dengan serta-merta.

“Desakan ini telah diterima dan sejak itu hingga ke hari ini Rambong Siam hanya dibenarkan bermain di Kedah untuk tujuan mengutip derma sahaja dan dalam sehari dua sahaja.” – Zainuddin Maidin, dari bukunya: Mahathir Bukan Kawan Saya.

Secara keseluruhannya, ramai yang tertanya-tanya, kenapa Rambong ini begitu mempengaruhi orang Alor Setar. Ada yang membuat andaian…

Tarian Rambong ada kaitan dengan unsur mistik.

Berdasarkan pemerhatian Zainuddin, ada di kalangan orang ketika itu menyimpan rambut yang diberikan oleh penari Rambong dan ada juga yang sentiasa bawa bunga cempaka yang diberikan oleh penari kepada mereka. Ini dipercayai membuatkan mereka terpesona dengan penari-penari Rambong.

Walaupun sukar untuk dibuktikan, banyak yang seolah-olah terjebak dengan penari-penari Rambong sehingga terikat untuk hadir ke pesta setiap malam.

Kejadian ini juga mencatatkan kisah sedih apabila seorang pemuda terbunuh dalam pergaduhan kerana berebut penari Rambong.

“Bagi sesetengah orang, ‘gila Rambong’ ini menjadi kenangan manis untuk senyuman di hari tua mereka, tetapi bagi isteri yang ditinggalkan oleh suami kerana ‘berkahwin’ dengan perempuan Rambong, tentulah tidak habis-habis kutukannya.” – Zainuddin Maidin, dari bukunya: Mahathir Bukan Kawan Saya.

BACA: Mak hina isteri aku sebab keturunan anak luar nikah. Aku tekad utuk buang mak dalam hidup kami