Perlu ada insentif bantu pelaksanaan kerja dari rumah – MEF

Perlu ada insentif bantu pelaksanaan kerja dari rumah – MEF

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan agar mempertimbang insentif tambahan kepada golongan majikan dan pekerja.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti, pihaknya menjangkakan PKP Bersyarat (PKPB) akan dikuatkuasakan.

Ujarnya, arahan mengehadkan jumlah pekerja di pejabat dijangka dilanjutkan sekali gus memaksa majikan meneruskan konsep bekerja dari rumah (BDR).

“Sebenarnya, keperluan bekerja dari rumah itu kebanyakannya bergantung kepada peralatan yang disediakan sendiri oleh pekerja dan ia tidak disediakan oleh majikan.

“Saya harap pihak kerajaan dapat memberikan insentif iaitu majikan-majikan yang menyediakan peralatan dan juga perkhidmatan internet di rumah pekerja diberi insentif-insentif percukaian tertentu supaya ia dapat meringankan sedikit beban-beban yang ditanggung pekerja yang terpaksa bekerja dari rumah.

“MEF juga harap kerajaan dapat mempertimbang penyediaan insentif supaya pekerja dapat menyediakan satu ruang kerja khusus di rumah, supaya pekerja dapat menjaga kesihatan mereka apabila bekerja di rumah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam yang menyatakan 13 daripada 14 kluster COVID-19 baharu yang dikesan pada Jumaat adalah melibatkan jangkitan di tempat kerja.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata pihaknya telah menyuarakan cadangan insentif berkenaan kepada kerajaan melalui Kementerian Kewangan, namun belum ada perbincangan lanjut dilakukan.
“Kita belum berbincang secara langsung dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) buat masa ini.

“Dalam masa terdekat saya kira MEF boleh bincang perkara berkenaan seterusnya dengan pihak MTUC supaya kita dapat bersama-sama menjayakan program bekerja dari rumah yang menjadi salah satu norma baharu yang timbul dari COVID-19 ini,” katanya.

Sebelum ini, kaji selidik oleh firma penyelidikan pengguna dalam talian Vase.ai mendapati 77 peratus daripada 1,100 responden mengakui menghadapi kesukaran untuk bekerja dari rumah.
35 peratus pula memberitahu sambungan internet tidak stabil antara cabaran yang dihadapi ketika bekerja dari rumah.

Berita Penuh: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bdr-dijangka-berlanjutan-mef-gesa-kerajaan-tambah-insentif-majikan-pekerja-282734