Perkahwinan terpaksa dibatalkan hanya kerana pengantin lelaki tak hafal sifir dua

Oleh SURIANI HAMDAN

Jika kita mengimbas kembali zaman sekolah, kita pasti ingat bahawa cikgu selalu menyuruh kita menghafal sifir dari sifir 1 hingga sifir 12.

Setiap kali dalam kelas, terutama ketika mula belajar darab, cikgu akan memilih atau meminta murid untuk menyebut sifir di hadapan kelas.

Biasanya, kerana takut dikenakan ‘hukuman’ jika gagal menghafal sifir, murid-murid akan berusaha keras untuk mengingatnya.

Selalunya, apabila kita dewasa, kita sudah mampu menghafal sifir-sifir tersebut dengan baik.

Baru-baru ini, tular mengenai satu perkahwinan di luar negara di mana pengantin perempuan membatalkan majlis perkahwinannya sendiri kerana pengantin lelaki gagal menghafal sifir dua!

Perkahwinan terpaksa dibatalkan hanya kerana pengantin lelaki tak hafal sifir dua

Kejadian ini berlaku di Mahoba, India. Pengantin lelaki telah tiba di dewan perkahwinan bersama rombongan pihak lelaki.

Namun, pengantin perempuan merasa ragu-ragu mengenai kelayakan akademik bakal suaminya dan meminta beliau menyebut sifir dua sebelum pertukaran kalung bunga dilakukan. Pertukaran kalung bunga adalah tanda permulaan acara perkahwinan.

Sebelum ini, pengantin perempuan sudah mengesyaki keluarga pihak lelaki mungkin tidak jujur tentang kelayakan akademik bakal suaminya. Pengantin lelaki gagal menghafal sifir dua, dan sejurus selepas itu, pengantin perempuan bangun dan meninggalkan dewan perkahwinan.

Ahli keluarga pengantin perempuan cuba memujuknya untuk meneruskan perkahwinan, tetapi dia bertegas tidak mahu mengahwini lelaki yang tidak tahu asas matematik.

“Keluarga pengantin lelaki tidak memberitahu kami dengan jelas tentang tahap pendidikannya. Mungkin dia tidak pernah bersekolah,” kata sepupu pengantin perempuan.

Akhirnya, kedua-dua keluarga bersetuju untuk membatalkan perkahwinan dan sepakat memulangkan hadiah-hadiah perkahwinan. Menurut sumber, perkahwinan tersebut adalah hasil persetujuan kedua-dua belah keluarga.

BACA: Kecoh pelajar tingkatan 1 melahirkan anak ketika jawab exam!