ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak, menyatakan beliau hanya diberitahu mengenai penggugurannya daripada jawatan Exco Perlis dua hari sebelum ia diumumkan.
Menurutnya, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, tidak memberikan alasan yang jelas
Mengenai keputusan tersebut, selain menyebut ia disebabkan faktor politik.
“Tiada Penjelasan Jelas”
“Saya tidak pasti apa alasan sebenar. Orang yang paling layak menjawab ialah menteri besar.
“Saya hanya diberitahu pada hari Sabtu, dua hari sebelum pengumuman.
“Saya bertanya sama ada ia berkaitan prestasi, tetapi beliau berkata tidak. Beliau memaklumkan prestasi saya cemerlang, namun pengguguran ini disebabkan faktor politik,” katanya.
Dalam rombakan kerajaan negeri yang berlaku hari ini, Wan Zikri dan ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan, diketepikan daripada barisan Exco.
Untuk rekod, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memiliki tiga wakil dalam Exco Perlis selepas Pilihan Raya Umum 2022. Selain Wan Zikri dan Megat Hashirat, wakil Bersatu yang lain ialah Izizam Ibrahim (ADUN Titi Tinggi), yang dikekalkan dalam rombakan kali ini.
Tempat Wan Zikri dan Megat Hashirat diisi oleh Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis) dan Marzita Mansor (Sena).
Secara keseluruhan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis mempunyai 15 kerusi. Dalam PRU lalu, Bersatu memenangi lima kerusi, PAS sembilan kerusi, dan baki satu lagi kerusi, Indera Kayangan, dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH).
“Kecewa Tetapi Akur”
Ketika ditanya mengenai perasaannya, Wan Zikri mengakui bahawa beliau kecewa dengan keputusan tersebut.
“Tipulah jika saya tidak kecewa. Sebagai manusia biasa, apatah lagi saya telah merancang banyak perkara untuk tahun hadapan,” katanya.
Wan Zikri turut meluahkan rasa kurang senang terhadap keputusan yang dibuat pada saat-saat akhir, yang menurutnya memberi kesan besar kepada dirinya serta pihak yang bekerja di bawahnya.
“Menteri besar sepatutnya memaklumkan lebih awal. Bukannya pada saat-saat akhir. Isnin lalu ada mesyuarat Exco, jadi beritahulah pada waktu itu.
“Saya ada pekerja di bawah saya yang juga ada tanggungan. Ada yang mempunyai isteri dan keluarga. Tidak mungkin saya hendak memberhentikan mereka secara mendadak,” katanya lagi.
Rombakan Exco ini menunjukkan perubahan landskap politik di Perlis, dengan faktor politik terus menjadi penentu utama dalam pengguguran dan pelantikan wakil rakyat
BACA: Tular video Daiyan Trisha pakai baju tembus dalam undang perhatian netizen