Penyumbang politiking tidak berkesudahan adalah Abdul Hadi sendiri – Aiman Athirah

Penyumbang politiking tidak berkesudahan adalah Abdul Hadi sendiri – Aiman Athirah

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan membaca kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini yang menyokong pengisytiharan darurat, kononnya bagi mengekang Covid-19 yang ‘semakin mengganas’, sambil menyindir individu yang tidak dinamakan untuk ‘menghentikan politiking tidak berkesudahan.’

Hadi sindir Anwar gagal dapat jumlah sokongan mencukupi, mengidam jadi PM

Kenyataan berbaur kesombongan kuasa ini mengesahkan agenda keji rejim pengkhianat terdesak menyelamatkan kuasa rapuh sambil meremehkan derita rakyat yang kini terhimpit akibat tindakan-tindakan bermotif politik demi menyelamatkan kerajaan tanpa majoriti ini.

Sambil meninggalkan rakyat terkapai-kapai mendepani tekanan hidup tanpa sebarang pelan sosioekonomi tuntas, hari demi hari rejim pengkhianat ini terus merobek rakus sisa-sisa demokrasi yang menjadi asas negara bangsa ini, dan Abdul Hadi akan terpahat dalam helaian sejarah sebagai pemimpin parti Melayu-Islam kebanggaannya yang bersekongkol dengan pengkhianatan keji ini.

Jika Abdul Hadi lupa, rakyat sedia mengingatkan bahawa ‘politiking tidak berkesudahan’ ini telah dicetuskan akibat perbuatan tangan-tangan Abdul Hadi sendiri, bersama sekutu-sekutu politiknya yang mengheret negara ke kancah kemusnahan dan kehancuran institusi semak dan imbang bermula dengan Langkah Sheraton.

Di manakah Hadi dan majoriti mereka yang kini menjadi Menteri, pada akhir Februari 2020 iaitu tatkala kepimpinan negara semasa pentadbiran PH pada waktu itu dan barisan hadapan negara serta rakyat sedang bergelut berdepan gelombang pertama wabak ini?

Rakyat dan kita semua tidak pernah lupa bahawa individu sebenar adalah Hadi Awang, BUKANnya Dato Seri Anwar Ibrahim; yang berada di Sheraton bagi membincangkan agenda pengkhianatan menjatuhkan kerajaan sah dipilih rakyat melalui Pilihan Raya Umum ke-14! Berapa lama negara dalam vakum kepimpinan setelah mandat rakyat dirampas dalam tempoh pandemik? Inilah sebenarnya malapetaka ‘politiking tidak berkesudahan’ yang membelenggu negara, yang kini cuba diletakkan kesalahan oleh Hadi ke atas Dato Seri Anwar dan PH!

Rakyat juga sedia mengimbas kembali jika Abdul Hadi mengalami short term memory loss akan rampasan kuasa melalui politik jual beli sokongan di Sabah oleh rejim PN sehingga runtuhnya kerajaan negeri sekaligus mendesak Pilihan Raya Negeri diadakan, seterusnya mengundang gelombang ketiga wabak Covid-19 di seluruh negara! Nah, siapakah sebenarnya yang berpolitik tidak berkesudahan, PN atau PH?

Ancaman Covid-19 tiba-tiba mendapat perhatian presiden parti Melayu-Islam berstatus Duta Khas Timur Tengah ini, sedangkan menteri-menteri dan rakan-rakan sekutunya sendiri terpalit dengan episod-episod pelanggaran SOP serta kegagalan menjalani kuarantin kendiri termasuk menteri dari partinya yang telah menggagalkan usaha-usaha barisan hadapan negara menangani penularan wabak ini.

Pada saat kuasa politik PN terselamat dengan penggantungan sementara Parlimen dan Dun, usahlah Hadi Awang gusar dengan perbahasan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri daripada PH. Fakta yang jelas terang lagi bersuluh adalah bahawa Perdana Menteri rejim PN hari ini telah kehilangan majoriti dengan penarikan sokongan beberapa Ahli Parlimen PN sendiri. PN hakikatnya telah gagal teruk mengemudi negara di dalam krisis kesihatan dan krisis ekonomi, bahkan menjadi asbab utama dan berterusan kepada tercetusnya krisis politik paling parah dalam sejarah negara.

Dakwaan Hadi Awang bahawa pihak lawan berpecah belah dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak dapat mengumpulkan jumlah mencukupi amat melucukan, sedangkan kesatuan rejim pengkhianat sendiri terumbang-ambing dibadai defisit sokongan dan keyakinan rakan-rakan sendiri, tetapi terus berselindung di sebalik pengisytiharan darurat ini. Adalah sangat jijik dan jelik apabila menggunakan Pandemik Covid-19 bagi menyelamatkan krisis kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Parlimen.

Kesepakatan Pakatan Harapan kekal utuh didasari kerjasama yang melangkaui survival politik jangka pendek, serta tidak sesekali akan memperjudikan nasib rakyat. PH yang diterajui Dato’ Seri Anwar Ibrahim terus komited menjunjung Demokrasi Berparlimen dan reformasi institusi, dengan sokongan dan mandat rakyat walau dalam situasi mencabar kini.

Eloklah Hadi waspada dalam bahtera yang sedang dilayarinya sendiri, takut-takut ada yang sedang menebuk lubang, jangan ada pepat di luar runcing di dalam. Tangan di depan bersalam, tangan di belakang memegang belati.

Rakyat yang cintakan demokrasi tidak akan pernah lupa, dan tidak akan mengaku kalah menentang kebobrokan pemimpin-pemimpin yang gila dan kemaruk kuasa termasuk Hadi!

#PakatanHarapan
#AmanahDemiNegara
#AWANNasional
#KepimpinanWanitaUntukSemua
#KembalikanDemokrasi
#DemokrasiBerparlimen
#MajuTerus!

SENATOR HJH AIMAN ATHIRAH AL JUNDI

Sumber :

COMMENTS