Penyewa ‘sentap’ owner tak nak jual! padahal dah 4 bulan mogok tak bayar sewa

Oleh SURIANI HAMDAN

Ketenangan yang dirasai sering kali membuatkan seseorang enggan berpindah dari rumah atau kawasan yang didiami, walaupun sudah diarahkan keluar oleh pemilik.

Dalam satu hantaran di Facebook, seorang wanita berkongsi kisah mengenai penyewa rumah yang enggan berpindah walaupun telah diminta oleh pemiliknya.

Menurutnya, situasi ini dialami oleh rakannya, seorang ibu tunggal yang tinggal di kawasan Felda, selepas suaminya meninggal dunia pada Mei lalu.

“Saya bertanya bagi pihak kawan saya, seorang balu suri rumah yang menetap di Felda,” katanya memulakan cerita.

Masalah bermula apabila penyewa tersebut berkeras mahu membeli rumah yang sedang didudukinya, walaupun rakannya sudah memaklumkan bahawa rumah itu tidak untuk dijual kerana ia akan dijadikan sumber pendapatan utama.

Penyewa ‘sentap’ owner tak nak jual! padahal dah 4 bulan mogok tak bayar sewa

“Penyewa menuntut agar rumah itu dijual kepadanya, dan selepas diberitahu rumah itu tidak dijual, dia mula enggan memberikan kerjasama,” jelasnya lagi.

Akibatnya, penyewa terbabit berhenti membayar sewa bulanan, dan kini tunggakan sewa telah mencapai empat bulan. Lebih buruk lagi, penyewa tidak mempedulikan panggilan telefon mahupun mesej yang dihantar oleh pemilik rumah.

“WhatsApp tak dibaca, bila waris hubungi pun dia tak beri kerjasama,” tambah wanita itu, sambil meminta nasihat untuk menangani situasi tersebut.

Pertanyaan yang dikongsi dalam halaman Facebook Tanya Peguam itu menarik pelbagai reaksi daripada warga maya. Ramai mencadangkan agar bekalan elektrik dan air ke rumah tersebut dipotong.

“Sebelum bil elektrik dan air melambung, potong dahulu. Pemilik berhak untuk tidak menjual rumahnya,” tulis seorang pengguna.

Ada juga yang mencadangkan agar notis rasmi dikeluarkan untuk menuntut bayaran sewa tertunggak dan memberi tempoh masa untuk penyewa keluar, sebelum melaporkan kepada pihak polis jika masalah berlarutan.

Beberapa pakar perundangan turut memberikan nasihat, mencadangkan agar pemilik rumah melantik peguam bertauliah untuk menguruskan writ pemilikan bagi mendapatkan kembali rumah tersebut.

BACA: Ulat dalam makanan, tikus berkeliaran didapur, Asyraf Wajdi terjah kantin MRSM Taiping