Penonton pengsan ketika perlawanan Liga Super, meninggal dunia

Oleh ANITA ABD RAHMAN

Penonton pengsan ketika perlawanan Liga Super, meninggal dunia

Seorang lelaki yang pengsan ketika menyaksikan perlawanan Liga Super antara Sabah FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas di sini, malam tadi, dilaporkan meninggal dunia.

Lelaki berusia 39 tahun terbabit dikatakan pengsan jam 8.27 malam, sejurus selepas pasukan Sabah FC menjaringkan gol pertama pada perlawanan itu.

Penonton pengsan ketika perlawanan Liga Super, meninggal dunia

Sumber berkata, lelaki terbabit secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika penyokong meraikan jaringan Sabah FC.

“Kebetulan, saya bersama isteri duduk di kawasan sama (dengan lelaki terbabit) dan tiba-tiba, ada seorang lelaki tidak sedarkan diri.

“Saya kemudian segera ke tempat lelaki itu untuk memberikan bantuan pernafasan (CPR) sambil cuba menghubungi doktor bertugas,” katanya yang juga seorang petugas kesihatan.

Menurutnya, pasukan perubatan kemudian datang ke tempat lelaki terbabit untuk mengusungnya, seterusnya menghantarnya ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, menurut doktor yang merawatnya, lelaki itu disahkan meninggal ketika menerima rawatan di hospital malam tadi.

“Saya sudah buat yang termampu untuk membantunya termasuk memberi bantuan pernafasan selepas dia rebah di stadium (Likas), saya ucapkan salam takziah kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya.

Aksi Sabah FC dan JDT semalam menyaksikan seramai kira-kira 15,000 penyokong hadir ke Stadium Likas, berkesudahan pasukan tuan rumah tewas 1-5.

BACA: Dah boleh buang kad Touch&Go, ini 12 tol yang boleh bayar guna kad debit