Pengguna jalan raya di Tasik Banding, Perak mengalami situasi ‘terkandas’ lebih satu jam
akibat kehadiran kira-kira 30 ekor gajah yang dilihat ‘bermain’ dan berehat di tengah jalan.
Kejadian tersebut berlaku pada awal pagi Jumaat lalu sekitar jam 3 pagi dan dikongsikan
oleh seorang pemandu lori, Mohd Hisham Yazid, 38, melalui akaun TikTok miliknya.
Mohd Hisham mendedahkan bahawa dia sering berdepan situasi haiwan liar mengganggu laluan trafik,
namun jumlah gajah yang banyak seperti dalam insiden terbaru ini adalah sesuatu yang jarang berlaku.
“Sebagai pemandu lori yang kerap menggunakan jalan ini sebagai laluan utama, kejadian sebegini bukanlah sesuatu yang pelik atau menakutkan.
“Saya boleh katakan hampir setiap minggu saya pasti berjumpa dengan gajah yang menghalang laluan di Tasik Banding,” katanya seperti dilaporkan oleh Sinar Harian.
Tip Menghadapi Gajah di Jalan Raya
Dalam video berdurasi 53 saat yang dimuat naik oleh Mohd Hisham, kelihatan seekor gajah menghampiri sebuah kereta. Menurutnya, gajah tersebut mendekati kereta itu kerana pemandunya tidak mematikan lampu.
Cahaya lampu kenderaan menarik perhatian gajah, menyebabkan ia mendekati dan ‘bermain’ dengan kereta tersebut.
“Jika berdepan dengan gajah ketika melalui kawasan seperti ini (terutama pada waktu malam), pastikan kenderaan diperlahankan dan lampu dimatikan.
“Selain itu, jangan sesekali keluar dari kenderaan atau menonjolkan diri. Ini adalah tip penting untuk mengurangkan risiko diserang oleh haiwan liar tersebut,” jelasnya.
Mohd Hisham turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati apabila terserempak dengan gajah yang bersama anaknya, kerana gajah dewasa cenderung bertindak agresif jika merasa terancam.