Penduduk Kota Bima di Pulau Sumbawa, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, gempar dengan berita penemuan harta karun dari kerajaan lama oleh tiga penggali kubur.
Tiga penggali kubur tersebut, iaitu Ibrahim, Ramli, dan Robi Mas’ud, dilaporkan telah menemui cincin emas, cincin perak, gelang, dan anting-anting emas pada kedalaman dua meter.
Ketua Bahagian Bidang Kebudayaan Dinas Pendidikan dan Kebudayaan Kota Bima, Munawar, menyatakan bahawa penemuan terbaharu ini sangat menggemparkan.
Ketika menyiasat penemuan tersebut, Ibrahim, salah seorang penggali kubur, terkejut apabila menemui tengkorak yang dikebumikan bersama barangan perhiasan berharga di sisinya.
Pada mulanya, mereka tidak percaya bahawa barangan tersebut adalah harta karun kerana ia bercampur dengan tanah.
Namun, setelah diperiksa, barulah mereka yakin, ujar Munawar kepada portal Indonesia, MNC.
Menurut Munawar, ini bukan kali pertama artifak purbakala sebegini ditemui di kawasan tersebut. Sebelum ini, penduduk di sekitar daerah yang sama juga pernah menemui artifak seperti mata tombak, cucuk sanggul, dan beberapa barangan lain.
Harta karun yang dipercayai dari era kerajaan purbakala itu kemudian dibahagikan kepada tiga bahagian. Ibrahim mendapat dua cincin, Ramli memperoleh cincin dan anting-anting, manakala rakannya mendapat gelang dan anting-anting.
“Kami turut berpesan kepada mereka, jika ingin menjual, lebih baik jual kepada kerajaan. Jangan jual kepada orang lain,” kata Munawar.
Barangan perhiasan itu juga dibawa ke kedai emas untuk dinilai. Menurut laporan, berat cincin emas tersebut saja sudah mencecah 25 gram, manakala berat dan nilai barangan lain masih belum dapat dipastikan.
Baca Juga:Peniaga jelaskan ‘long fries’ RM19 , anggap ia berbaloi ini sebabnya