Pengerusi suruhanjaya antirasuah, Firli Bahuri disyaki terlibat dalam peras ugut dan menerima rasuah antara tahun 2020 hingga tahun ini.
Firli, yang juga bekas Ketua Polis Daerah Sumatera Selatan dan Nusa Tenggara Barat, disyaki menerima hadiah atau ganjaran sebagai balasan bagi siasatan kes rasuah Kementerian Pertanian.
Walaupun beliau dilantik ke jawatan tersebut pada tahun 2019 sebagai ketua agensi pencegahan rasuah pertama, Firli kini disiasat polis atas dakwaan melakukan jenayah tersebut.
Namun, sehingga kini, beliau belum ditahan oleh pihak berkuasa, dan tiada kenyataan rasmi mengenai niat untuk berbuat demikian.
Rasuah masih menjadi isu yang berleluasa di Indonesia, yang menduduki tempat ke-110 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah terkini Transparency International. Pengarah Siasatan Jenayah Khas Polis Indonesia, Ade Safri Simanjuntak, mengesahkan bahawa Firli akan disiasat atas jawatannya sebagai Ketua KPK dan sebagai suspek dalam kes jenayah rasuah.
Baru-baru ini, bekas Menteri Pertanian Indonesia, Syahrul Yasin Limpo, dilaporkan ditahan susulan beberapa dakwaan, termasuk menyeleweng dana awam bernilai lebih daripada AS$800,000 (RM3.75 juta) pada bulan Oktober lepas. Beberapa tuduhan terhadap Firli berkaitan dengan kes Syahrul Yasin.
Polis mengumumkan bahawa mereka telah menggeledah dua hartanah, mewawancara lebih daripada 90 individu, dan merampas bukti, termasuk dokumen pertukaran wang asing dalam dolar Singapura dan Amerika Syarikat antara tahun 2021 hingga 2023 yang bernilai lebih daripada 7.4 bilion rupiah (RM2.23 juta).
Walaupun KPK enggan memberikan komen lanjut, Firli sendiri telah beberapa kali menafikan semua tuduhan tersebut sebelum ini.
Sekiranya sabit kesalahan, Firli berisiko menghadapi hukuman penjara seumur hidup.
Indonesia sebelum ini, dilaporkan menahan puluhan pegawai kerajaan akibat rasuah sejak beberapa tahun lalu.
Pada tahun 2021, seorang bekas Menteri Hal Ehwal Sosial dihukum penjara selama 12 tahun kerana menerima rasuah bernilai AS$1.2 juta (RM5.62 juta), yang dikaitkan dengan bantuan makanan untuk keluarga miskin terjejas oleh COVID-19.