Pengantin tak kisah ‘cut’ bajet kenduri kahwin…tapi menangis ayah minta RM10,000

Oleh ZAKARIA HAMZAH

Perkahwinan sering kali menjadi impian setiap pasangan kekasih yang mahu hidup bersama hingga ke akhir hayat.

Perancangan rapi diperlukan bagi memastikan hari bahagia tersebut berjalan lancar dan sempurna.

Namun, seorang bakal pengantin perempuan meluahkan rasa kecewa di media sosial

apabila hasrat untuk mengadakan majlis idaman tergugat akibat tindakan ibu bapanya sendiri.

“Mak ayah dah tahu yang saya memperuntukkan RM10,000 untuk bajet majlis.

Pengantin tak kisah ‘cut’ bajet kenduri kahwin...tapi menangis ayah minta RM10,000

Saya juga serahkan kepada mereka untuk menguruskan kerana mereka mahu mengadakan majlis besar.

“Memandangkan saya nikah di masjid, saya cadangkan RM3,000 diperuntukkan untuk kos nikah termasuk hantaran, jurugambar, dan video,” kongsinya.

Konflik Perancangan Bajet
Wanita itu menjelaskan bahawa pada awalnya, bapanya bersetuju dengan pembahagian kos yang dicadangkan. Namun, situasi berubah apabila bapanya berkeras supaya keseluruhan RM10,000 digunakan untuk majlis kenduri dan persandingan.

“Sekarang saya mula risau tentang kos nikah di masjid. RM3,000 yang asalnya untuk nikah tidak termasuk baju, kasut, dan solekan,” luahnya.

Wanita itu juga mempertimbangkan untuk membatalkan perkhidmatan jurugambar dan juruvideo demi menjimatkan kos.

“Rasanya lebih baik simpan memori dalam kepala sahaja. Kalau mak ayah tanya nanti, saya cakap semua duit dah habis untuk majlis sanding,” katanya dengan nada kesal.

Kekecewaan Terhadap Sikap Ibu Bapa
Apa yang lebih menyedihkan, menurut wanita itu, bukan soal peruntukan kewangan, tetapi sikap ibu bapanya yang dilihat tidak konsisten dengan keputusan awal.

“Sepatutnya, kalau kenduri, ibu bapa yang tanggung. Tetapi kini, semuanya dibebankan kepada saya sebagai pengantin,” katanya lagi.

Sokongan Warga Maya
Luahan wanita tersebut mendapat perhatian ramai di media sosial, di mana netizen memberikan pelbagai cadangan untuk menjimatkan kos dan menguruskan bajet majlis dengan lebih baik.

Antara cadangan yang diberikan termasuk mengurangkan jumlah tetamu, mengelakkan perkhidmatan juruvideo, dan memilih cenderahati serta hantaran yang lebih sederhana.

“Kurangkan jemputan, misalnya daripada 1,000 orang kepada 700 atau 800 sahaja. Hantaran pula boleh ringkas, seperti manisan dalam tiga atau empat dulang sahaja,” cadang seorang pengguna.

Seorang lagi menasihatkan, “Akak pernah berada dalam situasi serupa. Solusinya, guna pinjaman peribadi untuk menampung kos tambahan, sebab dah rancang, takkan nak batalkan begitu sahaja.”

Walaupun begitu, ramai bersetuju bahawa tanggungjawab utama untuk kenduri sebenarnya terletak pada ibu bapa, bukan pengantin.

Situasi seperti ini, jika tidak ditangani dengan baik, boleh mencetuskan konflik keluarga yang lebih besar.

BACA:Percaya bulat-bulat boleh untung dalam 3 hari, warga emas berputih mata RM873,000 lesap