Penerokaan hutan tidak terkawal bukan punca utama banjir besar – MB

Penerokaan hutan tidak terkawal bukan punca utama banjir besar – MB

Penerokaan hutan tidak terkawal bukan punca utama menyebabkan berlaku gelombang ketiga banjir besar di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata bencana alam itu berlaku disebabkan hujan lebat, malah aktiviti penerokaan hutan untuk pembalakan dijalankan secara terkawal.

Sambil menyamakan Kelantan dengan beberapa negeri lain yang turut dilanda banjir, beliau juga tidak mahu musibah yang berlaku itu hanya difokuskan kepada negeri itu sahaja.

“Banjir (besar) baru sampai Kelantan. Negeri lain pun sama, Pahang, Johor, Terengganu pun banjir, memang hujan lebat.

“Nak kata tak buat kerja, semua buat kerja, semua negeri buat kerja sebab hasil (dan) hasil pun kita tak ambil semua, jadi tak boleh tuding jari kepada Kelantan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad ditemui di Sekolah Kebangsaan Lawang di sini yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan menempatkan 68 mangsa membabitkan 28 keluarga daripada tiga kampung sekitar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihatkan orang ramai supaya berpindah lebih awal bagi memudahkan proses menyelamat mangsa banjir.

“Saya minta rakyat bersedia untuk pindah lebih awal dan bawa barangan penting sahaja… ambil pengalaman (banjir) 2014,” katanya.

Beliau turut meluahkan kebimbangan dengan ‘tradisi’ orang ramai yang beramai-ramai keluar melihat air banjir dan berkumpul dalam kelompok ramai yang boleh menyumbang kepada penularan wabak COVID-19.

Beliau juga bersetuju dengan tindakan polis yang akan mengenakan kompaun kepada individu yang didapati sengaja berkumpul tanpa mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka sewaktu berada di kawasan banjir.

“Saya minta patuhi SOP (prosedur operasi standard) sebab mengundang kebimbangan bila berkumpul ramai.

“Kalau nampak degil dan sengaja tidak patuh SOP, memang patut kena saman,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/773615/banjir-bukan-sebab-penerokaan-hutan-semata-mata-mb-kelantan

COMMENTS