Penat hadap paip bocor bila duduk rumah flat, peguam ini ajar apa yang perlu buat

Oleh JUNAIDA MAHUSIN

Banyak di antara kita di Malaysia tinggal di rumah bertingkat seperti pangsapuri atau kondominium.

Di sini, penduduk berkongsi kemudahan seperti lif, bilik sampah, tempat letak kereta, dan taman permainan.

Namun, masalah biasa yang sering berlaku di rumah bertingkat adalah kebocoran paip di tandas, yang sering menjadi punca kerisauan

Persoalannya, siapa yang bertanggungjawab atas kerosakan itu, dan apakah tindakan yang perlu diambil?

Peguam Nas Rahman memberikan penjelasan menerusi laman X (@nas_rahmann).

Penat hadap paip bocor bila duduk rumah flat, peguam ini ajar apa yang perlu buat

Beliau menjelaskan bahawa dalam kes strata, kerosakan dalam unit adalah tanggungjawab pemilik unit itu sendiri.

Namun, untuk kerosakan di luar unit, tanggungjawab terletak pada pihak pengurusan seperti Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

Bagaimana pula dengan kebocoran antara tingkat? Pertama sekali, pengadu perlu memberikan notis bertulis kepada pihak pengurusan apartmen.

Pihak pengurusan kemudian perlu menjalankan pemeriksaan dan mengeluarkan perakuan pemeriksaan dalam tempoh yang ditetapkan. Borang ini akan menunjukkan punca kebocoran dan siapa yang bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan tersebut.

Sekiranya pihak yang bertanggungjawab enggan membaiki kerosakan, pengadu boleh meminta pihak pengurusan untuk membuat pembaikan.

Tanggungjawab pembaikan tersebut jatuh kepada pihak pengurusan, tetapi mereka boleh menuntut kos dari pemilik unit yang bertanggungjawab atas kerosakan.

Jika pihak yang bertanggungjawab dan pengurusan enggan membaiki kerosakan, pengadu berhak untuk menyaman kedua-dua pihak atas kerosakan tersebut. Itulah prosedur yang perlu diikuti sekiranya berlaku kebocoran antara tingkat di kediaman anda. Semoga penjelasan ini bermanfaat.

BACA: “Ayah terlupa padam history log telefon dia, rupanya ayah ada skandal dengan adik isteri dia sendiri”