Pemuda Umno desak umum segera hasil siasatan kes Adib

Pemuda Umno desak umum segera hasil siasatan kes Adib

Pemuda UMNO mendesak kerajaan segera mengumumkan perkembangan siasatan dan tindakan yang diambil berhubung kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia agar pihak keluarga arwah tidak berterusan dibiarkan dalam ‘kegelapan’.

“Lebih lama kes ini dibiarkan tertangguh, lebih kuat persepsi yang timbul seolah-olah keadilan semakin dinafikan buat keluarga arwah Adib sebagaimana prinsip undang-undang ‘justice delayed is justice denied’,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Asyraf Wajdi menegaskan, Mahkamah Koroner membuat keputusan pada 26 September 2019 bahawa kematian Muhammad Adib berpunca dari perbuatan jenayah akibat dipukul.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini iaitu sudah lebih setahun empat bulan tetapi tiada apa-apa tindakan diambil pihak berkuasa.

“Malah janji kerajaan sejak Disember lalu untuk menyegerakan siasatan yang dikatakan sudah sampai ke peringkat akhir masih belum dibuat sebarang pengumuman rasmi akan hasilnya sehingga kini,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan rayuan bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid akan didengar pada 28 Mei depan.

Rayuan tersebut berhubung tindakan Mohd Kassim memfailkan permohonan ex parte untuk perintah komital terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas kerana didakwa menghina mahkamah apabila memfailkan afidavit dari Pejabat Peguam Negara pada 3 April 2019.

Afidavit itu dilaporkan mendakwa kematian Muhammad Adib bukan akibat kecederaan yang dialaminya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas di Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Ia berikutan kecederaan parah yang dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/123455/BERITA/Nasional/Segerakan-umum-perkembangan-kes-Adib