Pemuda ini teruskan legasi ‘Karipap Kazim’

Oleh MHDAILY

Pemuda ini teruskan legasi ‘Karipap Kazim’. Sepanjang 10 tahun lalu, ‘Karipap Ustaz Kazim’ dan sebuah basikal tua merah cukup dikenali dalam kalangan penduduk sekitar serta pelanggan sebuah stesen minyak di Kuala Krai.

Di situlah Rosdi Ghafar mencari rezeki untuk menyara isteri serta empat anak mereka dengan menjual karipap berkenaan yang diambil namanya kerana wajah Rosdi hampir mirip pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim.

Bagaimanapun, legasi Rosdi hampir terhenti apabila dia meninggal dunia Oktober 2021 akibat masalah jantung dan paru-paru berair.

Sejak itu, ramai yang bertanya ke mana hilangnya Karipap Ustaz Kazim kerana yang tinggal hanya basikal merah di stesen minyak itu.

Bagi memastikan legasi Karipap Ustaz Kazim berterusan, anak bongsunya, Tuan Muhamad Aiman Mustakim Rosdi, 15, sanggup menjadi pengganti menjual karipap itu, juga di lokasi sama, malah dengan menggunakan basikal tua sama.

Pemuda ini teruskan legasi 'Karipap Kazim'

“Saya rela hati mahu menjual karipap warisan arwah ayah bagi meneruskan legasi perniagaannya selain mahu membantu ibu, Tuan Muharini Tuan Mat, yang berusia 50 tahun.

“Saya hanya membantu ibu menjual karipap pada setiap hari minggu dan cuti sekolah. Kebiasaannya, pada jam 7 pagi, abang atau saudara terdekat akan menghantar saya ke stesen minyak yang terletak hanya dua kilometer dari rumah dengan menunggang motosikal untuk menjual karipap.

“Basikal tua yang digunakan oleh arwah ayah untuk berniaga karipap ditinggalkan di stesen minyak dan saya akan meletakkan bekas berisi karipap panas di belakang basikal sambil menunggu pelanggan sehingga ia habis dijual,” katanya ditemui.

Bagaimanapun, menurut Tuan Muhamad Aiman Mustakim, pada hari biasa, ibunya mengupah orang lain untuk berniaga karipap kerana tidak mahu persekolahannya terganggu.

“Saya akan terus membantu ibu berniaga kerana Karipap Ustaz Kazim ini memang ada pelanggan tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Tuan Muharini berkata, sejak kesihatan suaminya merosot, lelaki berkenaan jarang keluar menjual karipap.

“Ramai elanggan serta penduduk sekitar yang pernah membeli karipap daripada suami terkejut apabila mengetahui suami meninggal dunia selepas lama tidak melihat kelibatnya di stesen minyak itu.

“Bagaimanapun, pada awal tahun ini, Tuan Muhamad Aiman Mustakim meluahkan hasratnya untuk menjual karipap di stesen minyak berkenaan kerana mahu meneruskan legasi perniagaan bapanya.

“Alhamdulillah, selepas kisah anak bongsu menjual karipap di stesen minyak itu tular, dalam sehari, kira-kira 500 biji karipap terjual dan ia biasanya habis dalam tempoh tiga jam,” katanya.

Menurutnya, selain dijual di stesen minyak, dia juga menerima tempahan Karipap Ustaz Kazim untuk majlis kesyukuran namun ada kalanya terpaksa menolak kerana tidak menang tangan untuk menyiapkannya.

Bercerita lanjut, Tuan Muharini berkata, sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Johor, namun pada awal 2008, mereka mengambil keputusan untuk menetap di Kuala Krai memandangkan pada ketika itu, arwah ayahnya sakit dan memerlukan penjagaan.

“Sejak itu, saya belajar membuat karipap manakala suami pula menjaja karipap panas dari rumah ke rumah dengan menaiki basikal. Ketika itu, pendapatan yang diperoleh RM50 sehari.

“Bagaimanapun, lama-kelamaan ia semakin mendapat sambutan malah mempunyai pelanggan tetap,” katanya.

Katanya, setiap hari, dia perlu menguli 25 kilogram tepung gandum untuk dijadikan kulit karipap serta 30 kilogram ubi keledek untuk membuat inti.

Seawal jam 7 pagi, dia bersama dua pekerja akan memproses karipap untuk dijual pada keesokan pagi.

“Seawal jam 3 pagi pula saya sudah bangun untuk menggoreng karipap dan pada jam 7 pagi, ia sudah siap digoreng untuk dijual dalam keadaan masih panas,” katanya.

BACA:

Jom kerja kerajaan, KPKT buka jawatan kosong, mohon sekarang

Apa dah jadi, keputusan kes penghakiman Rosmah pula bocor

“Dah la positif Covid, kena pula cacar monyet dan HIV”