Pemuda ini kongsi pengalaman kerja di New Zealand buat ramai anak muda bercita-cita hijrah ke sana.
BEKERJA mahupun belajar di luar negara pastinya memberi pengalaman menarik kepada sesiapa sahaja.
Tidak hairanlah terdapat pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’ yang membawa maksud negara luar semestinya menawarkan sesuatu yang berbeza berbanding negara sendiri.
Malah rata-rata warga maya yang pernah tinggal dan merantau ke ‘dunia’ luar sentiasa menceritakan pengalaman dan keindahan kehidupan yang dilalui sehingga membuatkan ramai yang memasang hajat untuk berhijrah.
Seperti dikongsikan seorang pelayar Twitter yang hanya ingin dikenali sebagai Alif, dia telah berkelana ke New Zealand sejak 10 bulan yang lalu bagi mencari rezeki.
Menekankan aspek pekerjaan dalam setiap ciapan yang dibuat, jejaka berusia 27 tahun ini turut memberi gambaran keseronokan kerja yang dirasainya.
“Hari ini genap 10 bulan aku kerja di bumi New Zealand. Apa beza dengan pengalaman aku kerja di Malaysia?” ciapnya memulakan cerita.
Menurut anak kelahiran Terengganu itu lagi, perbezaan yang paling dirasai adalah budaya waktu kerja pergi dan balik yang ditepati selain tidak mempunyai aplikasi mesej berkumpulan yang kebiasaannya mengganggu staf di luar waktu kerja.
Malah katanya, pekerja bebas untuk mengambil cuti sakit tanpa perlu memberitahu jenis sakit.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang Malaysia masuk Auckland guna visa melancong, senyap-senyap cari kerja… Paling melampau siap minta bayar cash!
ARTIKEL BERKAITAN: Dari P.Pinang, kehidupan ‘berakhir’ di Johor! Pemuda dah tak berangan gaji lumayan, serik cari kerja di Singapura
Perkara paling diimpikan setiap pekerja di Malaysia yang telah diamalkan di negara paling selamat itu, semestinya sijil cuti sakit (MC) tidak perlu diberikan kepada majikan.
“Ada kursus diversiti dan anti-buli yang wajib diambil semua pihak.
“Tak ada gap antara staf biasa dengan ketua mahupun pengurus dalam urusan kerja seharian.
“Malah etika pemakaian dalam jabatan harian juga fleksibel… ada hari, pekerja pakai seluar pendek sahaja tetapi bukan mereka yang bekerja sebagai penyambut tetamu,” jelasnya lagi.
Lima tahun kerja di Australia, apa yang dia cakap ni betul. Gaji mingguan sangat membantu, cuti sakit perlu ambil sama ada mahu atau tidak.
WARGA MAYA
New Zealand juga mempunyai undang-undang rehat selama 10 minit bagi setiap dua jam bekerja.
“Untuk waktu rehat 10 minit tu, aku tak ambil setiap dua jam sebab aku himpunkan terus untuk lunch… jadi lunch aku satu jam, sempat makan dan solat Zohor semua,” ujarnya yang bekerja dalam sektor kewangan.
Tambahnya, setiap bandar mempunyai masjid dan surau yang mana di lokasinya sudah ada tiga buah masjid dan pusat jagaan kanak-kanak muslim.
Pejabatnya juga mempunyai ruang ibadat untuk semua agama namun hanya muslim yang sering menggunakannya.
Roadblock yang terdapat sepanjang perjalanan ulang-alik kerja.
Roadblock yang terdapat sepanjang perjalanan ulang-alik kerja.
Perkongsiannya itu menjadi tular sehingga mencapai 2.6 juta tontonan selain diulang kicau oleh 13,700 warga maya.
Bukan itu sahaja, ketika ditanya bagaimana dia berulang alik ke tempat kerja, Alif menyatakan dia hanya berjalan kaki sambil berkongsi gambar beberapa ekor itik sedang berehat kononnya ‘roadblock’ yang sinonim dengan sekatan polis mahupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Malaysia.
Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan warga maya meluahkan keinginan untuk mengembara ke New Zealand.
Tidak kurang juga yang berkongsikan pengalaman masing-masing ketika bekerja di negara luar seperti Australia, Belanda dan Jerman.
“Lima tahun kerja di Australia, apa yang dia (ciapan Alif) cakap ni betul. Gaji mingguan sangat membantu, cuti sakit perlu ambil sama ada mahu atau tidak.
“Jerman pun… tepat jam 3 atau 4, semua dah hilang.
“Susah tak nak dapat kerja di sana… bidang kejuruteraan mudah tak?,” ujar beberapa warga maya.