Pemuda disebelah Morgan Freeman bukan orang semberangan rupanya. PERHATIAH dunia tertumpu kepada seorang pemuda bernama Ghanim Muhammad Al-Muftah atau lebih dikenali sebagai Ghanim Al-Muftah yang tampil dalam upacara pembukaan Piala Dunia 2022 di Stadium Al Bayt, Qatar, malam Ahad lalu.
Duta Piala Dunia 2022 itu tampil membuat persembahan memukau bersama dengan aktor terkenal dari Amerika Syarikat, Morgan Freeman untuk menyampaikan mesej mengenai kedamaian, perpaduan dan keindahan dalam perbezaan.
Pemuda 20 tahun itu melontarkan kata-kata yang cukup indah bersama alunan ayat suci al-Quran dari Surah Al-Hujurat, ayat 13 sehingga persembahan tersebut menjadi tular di media sosial.
Ghanim Al-Muftah dilahirkan dengan penyakit Caudal Regression Syndrome (CDS) iaitu gangguan perkembangan bahagian bawah badan.
Genetik jarang berlaku
CDS merupakan keadaan genetik yang sangat jarang berlaku dan kira-kira satu daripada 100,000 kanak-kanak dilahirkan dengan kecacatan ini.
Ibu bapanya, Mohammed Al-Muftah dan Eman Ahmad berdepan keputusan yang sukar sama ada meneruskan kandungan tersebut atau menggugurkan bayi mereka.
Ia berikutan, doktor memberitahu bahawa kandungan itu bukan sahaja membahayakan kepada bayi, tetapi juga merisikokan si ibu.
Namun, pasangan itu memilih untuk memberi peluang kepada bayi mereka melihat dunia dan pada 5 Mei 2002 Ghanim dilahirkan bersama saudara kembarnya Ahmad. Pun begitu, doktor meramalkan yang dia hanya boleh hidup selama 15 tahun.
Ghanim mendapat gelaran ‘budak ajaib Qatar’ dan dia melakukan perkara yang dianggap mustahil seperti menyelam skuba, memanjat gunung, bermain bola sepak, hoki ais, berenang, bersenam di gimnasium dan memanah.
Pada 2017, Ghanim menyempurnakan ibadah Haji di Mekah dengan merangkak menggunakan tangan untuk mengelilingi Kaabah.
Dua tahun kemudian, ikon belia Qatar itu menyelesaikan salah satu cabaran fizikalnya yang paling getir iaitu dengan mendaki gunung Jebel Shams setinggi 9,827 kaki, salah satu yang tertinggi di Semenanjung Arab.
“Saya telah diberikan banyak kelebihan seperti memiliki tangan yang kuat dan saya rasa sangat bertuah kerana Allah merahmati saya.
“Saya suka menjalani kehidupan saya, ia sangat indah dan menyeronokkan,” katanya yang juga seorang YouTuber dan penceramah motivasi terkenal.
Mengasas badan amal
Selain aktif dalam aktiviti fizikal, Ghanim juga telah menerajui badan amalnya sendiri untuk membantu kanak-kanak kelainan upaya. Dia mengasaskan Persatuan Kerusi Roda Ghanim al-Muftah dari rumahnya.
“Saya mengambil berat tentang orang lain, ini adalah tanggungjawab kemanusiaan dan moral,” ujarnya ketika berucap pada Kejohanan Olahraga Dunia Paralimpik di Doha, Qatar pada 2015.
Pada tahun yang sama, beliau dipilih sebagai Duta Muhibah Reach Out To Asia (ROTA) ‘Memperkasakan Kanak-kanak dan Belia Pelarian Palestin melalui Sukan di Lubnan’.
Remaja itu melawat kem pelarian Palestin di Nahr El Bared, Lubnan dan di situ dia melancarkan pusat sukan baharu untuk membantu 5,000 kanak-kanak. Dia dan ibu bapanya juga memulakan Be Positive Project untuk membantu melatih kanak-kanak kelainan upaya.
Ghanim yang aktif bersukan, banyak melakukan kerja amal dan mempunyai ramai pengikut di media sosial telah melayakkannya dipilih sebagai duta rasmi Piala Dunia 2022 di Qatar.
Duta keamanan
Bukan itu sahaja, Ghanim pernah dinobatkan sebagai Duta Keamanan oleh H.H Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Sabah, pada tahun 2014.
Selain bertujuan untuk memecahkan halangan yang masih dihadapi oleh golongan kelainan upaya, Ghanim juga mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadi seorang diplomat suatu hari nanti.
Oleh itu, dia telah menyambung pengajian dalam bidang politik di Universiti Loughborough, Leicestershire, United Kingdom dan menjadi pelajar yang dikagumi ramai di sana.
“Hari ini, satu bilion wanita dan lelaki kelainan upaya di dunia masih berjuang untuk mengatasi halangan yang menyekat hak asasi manusia dan kemasukan mereka dalam masyarakat.
“Walaupun rangka kerja undang-undang sedia ada di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan tempatan, berjuta-juta orang kurang upaya kekal terpinggir, tiada akses kepada kerja, layanan adil dan perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan serta pendidikan.
“Pada masa hadapan, saya berjanji untuk sentiasa menyokong usaha bagi meningkatkan kesedaran dan menyokong kepentingan memasukkan perspektif kecacatan dalam perbincangan politik,” tuturnya yang kini mempunyai 3.6 juta pengikut di Instagram.
Ghanim turut berharap dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang hak orang kurang upaya, memupuk rasa hormat terhadap orang kurang upaya, menggalakkan masyarakat yang lebih inklusif dan bertolak ansur.
BACA:
Terkini: PN setuju bersama Kerajaan Perpaduan
Video MP Hulu Langat mengamuk marah lebai suka fitnah jadi tular di Tiktok
Anthony Loke buat kunjung hormat ke rumah Abang Jo di Kuching, mohon maaf secara terbuka
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio