Pemuda bagi anjing jalanan makan KFC dan Pizza Hut jadi tular

Oleh MHDAILY

Pemuda bagi anjing jalanan makan KFC dan Pizza Hut jadi tular. BUKAN biasa-biasa selera sekumpulan anjing jalanan, sesekali mahu juga makan sedap!.

Menyedari perkara ini, seorang pemuda bertindak memberikan piza kepada haiwan itu.

“Makanan anjing pun kayangan,” komen seorang netizen terhadap video pemuda berkenaan yang mengeluarkan kepingan piza dari kotak Pizza Hut..

Bercakap kepada mStar, pemuda berkenaan, Muhammad Faiz Basirun berkata, dia membeli tiga kotak piza daging ayam untuk kira-kira 18 ekor anjing.

Dalam kejadian pada Sabtu petang itu, pemuda berusia 20 tahun itu berbuat demikian di kawasan lapang berdekatan dengan pantai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Pemuda bagi anjing jalanan makan KFC dan Pizza Hut jadi tular

“Sebelum ini saya beri anjing-anjing dengan makanan kering (dry food). Kebetulan saya ada rezeki lebih selain sumbangan orang ramai, jadi saya belikan piza pula.

“Kasihan anjing-anjing ni, asyik makan dry food. Saya anggap anjing ni macam kawan. Kita yang manusia kalau hari-hari makan benda sama pun akan bosan,” katanya ketika dihubungi.

Lebih mesra disapa Faiz, dia bagaimanapun menjelaskan bahawa piza yang dipesannya adalah mengikut kesesuaian bagi mengelakkan anjing-anjing itu sakit.

“Anjing ni suka makan ayam. Sebab tu sebelum ni pun saya beri anjing-anjing makan ayam goreng KFC. Tapi untuk piza ni, saya beritahu staf di kedai supaya jangan letak sos dan inti sayur dan buah-buahan, cukuplah roti dan lapisan cebisan ayam tu,” katanya.

Berasal dari Langkawi, memberi makanan kepada anjing bukanlah perkara baharu bagi anak muda ini kerana ia sudah dilakukan sejak di bangku sekolah.

“Masa tu sementara tunggu arwah atuk datang jemput untuk balik ke rumah, saya akan beri roti atau sosej pada kucing dan anjing yang berkeliaran dekat luar kawasan sekolah.

“Tapi saya semakin aktif beri makanan kepada anjing sejak bulan Ramadan lalu. Masa tu saya beli nasi kerabu dan ayam goreng untuk berbuka puasa di sebuah kedai.

“Kemudian ada sembilan ekor anjing datang dekat saya, jadi saya rasa kasihan dan berikan separuh. Bermula dari keesokannya saya datang semula dan saya beri makanan anjing kepada haiwan-haiwan ni,” ujarnya yang berasal dari Langkawi.

Sering diajukan persoalan mengapa memberi makanan kepada anjing, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, tidak ramai yang mempunyai keberanian untuk berbuat demikian.

“Kalau kucing datang ke kedai makan, tuan kedai atau pelanggan pasti bagi makanan. Tapi kita susah nak tengok orang beri makanan bila anjing datang.

Susah nak tengok orang beri makanan bila anjing datang. Orang halau anjing lagi ada lah.
FAIZ

“Saya rasa orang halau anjing lagi ada lah, mindset orang kita yang anjing ni ganas. Bila saya fikir kenapa anjing akan attack. Anjing sebenarnya lapar datang nak minta makanan, itu yang macam kacau orang,” katanya yang menjadikan sumber pendapatan dengan membuat reviu dan pengacara majlis secara sambilan.

Maka tidak hairanlah anjing-anjing yang ditemuinya diberikan makanan haiwan setiap hari, malah sehingga tiga kali sehari sekiranya mempunyai masa dan sumbangan lebih.

Menurut Faiz lagi, antara sumbangan diterimanya adalah makanan anjing dan kucing daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga pencinta haiwan selepas mengetahui kisahnya memberi makanan kepada binatang di media sosial.

Faiz yang bercita-cita untuk menjadi pembaca berita mengakui terdapat segelintir netizen mempersoalkannya sanggup berbelanja untuk memberi makanan ‘mewah’ kepada anjing.

“Ada yang persoal kenapa bagi anjing, tak beri pada orang susah. Siapa yang follow saya di media sosial, pasti tahu yang saya juga sering bantu beri makanan kepada orang susah.

“Bila ada yang persoalkan, saya jawab saja yang anjing juga mahkluk ciptaan Tuhan. Kalau kita bagi haiwan ni makan tiga hari, tiga tahun dia akan ingat kita. Tapi kalau kita bagi orang makan tiga tahun, tiga hari pun belum tentu dia ingat,” katanya.

BACA:

Semua pengasas produk selamba tayang punggung, siap kena ‘raba’ sorang-sorang

Tengah ‘membuang’ pun buat content, Caprice dan isteri kena kecam teruk

Emas RM74 billion ditemui dalam kapal karam

Leave a Comment