Pemimpin PN mula ‘ketar lutut’ selepas penahanan Muhyiddin. Penahanan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kerana disyaki terlibat dengan rasuah
ia mendorong penganalisis membuat ramalan buruk berhubung sokongan pengundi terhadap partinya dan Perikatan Nasional (PN), gabungan yang dipengerusikannya.
James Chin dari Universiti Tasmania, felo Majlis Profesor Jeniri Amir dan Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya memberitahu FMT, mereka percaya kini sukar bagi pengundi untuk menerima dakwaan Bersatu bahawa ia parti yang bebas rasuah.
Mereka menjangkakan PN akan menerima padah pada PRN akan datang.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Muhyiddin semalam dan beliau dijangka didakwa di mahkamah pagi ini.
Dua lagi pemimpin Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dan Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa bulan lepas atas tuduhan rasuah. Penganalisis berkata, penahanan Muhyiddin menjadi noda yang terlalu sukar untuk dihilangkan.
“Bersatu memberitahu orang Melayu bahawa ia lebih bersih daripada Umno, yang dikatakannya korup. (Bersatu) kini tidak boleh menggunakan hujah itu untuk menarik pengundi pada PRN,” kata Chin.
Beliau berkata, pemimpin lain dalam PN, terutamanya mereka yang terlibat dalam perolehan kontrak semasa wabak Covid-19, akan menjadi semakin bimbang SPRM akan turut menyiasat mereka.
Muhyiddin dijangka berdepan beberapa tuduhan bawah Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) berhubung program Jana Wibawa. Wan Saiful dan Adam Radlan didakwa bulan lepas atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung projek yang melibatkan Jana Wibawa.
Jeniri berkata, tuduhan dan pembekuan akaun bank akan menyukarkan kempen PRN Bersatu.
Awang Azman berkata, beliau tidak terkejut jika Bersatu menerima nasib sama dengan Umno akibat tuduhan rasuah.
“Tuduhan-tuduhan ini akhirnya mengakibatkan Barisan Nasional tumpas,” katanya.
Semasa kempen PRU lepas, Muhyiddin berkata, PN bersedia menawarkan sebuah kerajaan yang “bersih dan stabil” untuk rakyat. Gabungan itu memenangi 73 kerusi di Parlimen.
BACA:
Ini senarai gaji CEO syarikat besar dalam Malaysia, gaji dia boleh beli MYVI tiap-tiap hari!