Ramai yang mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri, tetapi kebimbangan utama adalah bagaimana jika suatu hari nanti anda tidak mampu membayar ansuran rumah?
Masalah ini sering menghantui golongan berpendapatan tetap, apatah lagi mereka yang bekerja sendiri tanpa slip gaji.
Namun, jangan risau, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) mungkin ada penyelesaiannya.
SJKP adalah sebuah badan yang disokong oleh kerajaan Malaysia melalui Menteri Kewangan Diperbadankan, dengan misi memastikan lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah pertama.
*Peruntukan RM10 Bilion Dalam Belanjawan 2025*
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 bilion kepada SJKP untuk membantu rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40, memiliki rumah sendiri.
Namun, SJKP tidak memberikan bantuan kewangan secara langsung. Sebaliknya, mereka bertindak sebagai penjamin kepada pihak bank, memudahkan proses pembiayaan perumahan bagi mereka yang layak.
Jika anda mempunyai pendapatan tidak tetap yang mungkin tidak memenuhi syarat bank, SJKP akan menjadi penjamin untuk meningkatkan keyakinan bank dalam meluluskan pinjaman anda.
Skim yang Ditawarkan oleh SJKP
SJKP menawarkan dua jenis skim pembiayaan:
Skim Jaminan Pembiayaan
– Membolehkan pembiayaan sehingga RM500,000, termasuk kos rumah dan kos tambahan seperti yuran guaman, MRTT/MRTA, Takaful Pemilikan Rumah Jangka Panjang (LTHOT), dan yuran penilaian.
– Menyediakan jaminan pembiayaan melebihi 100% dengan tempoh pinjaman sehingga 35 tahun.
SJKP-MADANI
– Direka khas untuk rumah berharga tidak melebihi RM300,000.
– Menawarkan jaminan pembiayaan sehingga 120%, termasuk harga rumah, kos pengubahsuaian, perabot, yuran guaman, yuran penilaian, MRTT/MRTA, dan LTHOT.
Kelebihan Utama SJKP
Anda tidak memerlukan wang pendahuluan atau duit muka.
Proses lebih mudah untuk memiliki rumah pertama, sama ada anda berpendapatan tetap atau bekerja sendiri.
Syarat Permohonan
Ansuran bulanan tidak melebihi *65% daripada pendapatan kasar bulanan*.
Tiada rekod tertunggak dalam CCRIS melebihi dua bulan dalam tempoh 12 bulan.
Tiada rekod kredit lain yang negatif.
Dengan skim ini, impian untuk memiliki rumah pertama kini lebih mudah dicapai tanpa mengira jenis pekerjaan anda!