Pemberi maklumat Boeing ditemui mati beberapa hari selepas menyuarakan kebimbangan berkenaan standard keselamatan pesawat syarikat itu.
John Barnett, 62 tahun, telah ditemui meninggal pada 9 Mac yang lalu, yang dipercayai akibat kecederaan yang disebabkan oleh dirinya sendiri.
Berita ini telah disahkan oleh Koroner, Charleston County, dalam satu kenyataan kepada BBC pada Isnin.
“Barnett ditemui di dalam trak miliknya di tempat letak kereta sebuah hotel tempatan.
“Namun, tiada butiran lanjut yang tersedia pada masa ini,” tambah beliau.
Beberapa hari sebelum kematian beliau, Barnett telah dipanggil untuk disoal siasat oleh peguam Boeing dan peguamnya sendiri dalam tuntutan mahkamah terhadap raksasa aeroangkasa AS tersebut di Carolina Selatan.
Barnett telah bekerja untuk Boeing selama 32 tahun sebelum bersara pada tahun 2017.
Sejak tahun 2010, beliau telah bertugas sebagai pengurus kualiti untuk 787 Dreamliner, yang digunakan oleh kebanyakan syarikat penerbangan utama.
Beliau pertama kali mengeluarkan amaran pada tahun 2019, mendakwa bahawa Boeing telah mengambil langkah yang terlalu tergesa-gesa dalam pengeluaran pesawat baru tersebut dari barisan pengeluaran.
“Sistem oksigen kecemasan yang dipasang dalam 787 Dreamliners mempunyai kadar kegagalan sebanyak 25 peratus yang dipasang secara sengaja.
“Ini bermakna satu perempat daripada pesawat jenis tersebut berpotensi kehilangan oksigen dengan cepat jika kabin tiba-tiba mengalami penurunan tekanan, menyebabkan penumpang tercekik.
Kenyataan ini dikeluarkan selepas dua tragedi yang melibatkan pesawat Boeing 737 MAX 8 pada tahun 2018 dan 2019 yang meragut lebih dari 350 nyawa.
Namun, beliau menyatakan bahawa tidak ada tindakan lanjut yang diambil oleh pihak Boeing selepas laporan tersebut dibuat.
Malahan, pada masa itu, Boeing menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa pesawat mereka dibina mengikut standard keselamatan dan kualiti yang tertinggi.
Tetapi pada tahun 2017, semakan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) telah mengesahkan beberapa dakwaan Barnett, dan mengarahkan syarikat itu untuk bertanggungjawab.
Jurucakap Boeing pada masa itu juga menyatakan turut berdukacita dengan berita pemergian Barnett.
Pihak berkuasa, Jabatan Polis Kota Charleston sedang menjalankan siasatan aktif terhadap insiden tersebut.