Pembangkang tukar strategi saat akhir, sokong RUU yang bawa kebaikan – Fahmi

Pembangkang tukar strategi saat akhir, sokong RUU yang bawa kebaikan – Fahmi

Usul-usul atau Rang Undang-undang (RUU) yang membawa kebaikan kepada rakyat sentiasa disokong oleh Ahli Parlimen pembangkang, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Menyokong hujahnya, Fahmi berkata, ketika sidang Dewan Rakyat sebelum ini, Ahli-ahli Parlimen pembangkang menyokong RUU berkaitan COVID-19.

Jelas beliau, apa yang dilakukan oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang ialah menjalankan tugas semak dan imbang bagi setiap usul yang dibawa.

“Kita perlu teliti tugas atau pun fungsi pihak pembangkang dalam Parlimen adalah untuk proses semak dan imbang.

“Ia di mana sekiranya tidak ada langsung pembangkang, maka sesuatu yang dibawa ke perhatian Parlimen tidak ada sesiapa yang akan membangkitkan untuk diteliti dengan lebih mendalam.

“Saya bagi contoh isu yang dibangkitkan oleh ramai frontliners, mereka kata untuk dapat sebahagian elaun, kami kena isi banyak borang, benda-benda seperti ini perlu diteliti oleh pihak kerajaan,” katanya kepada Astro AWANI.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pihak agar mengubah persepsi terhadap pembangkang yang sering dikaitkan dengan perkara-perkara negatif.

Katanya, lebih banyak pendapat dapat didengari sekiranya sesuatu usul dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

“Bila sesuatu itu dibahas di Parlimen, ia memberi peluang lebih banyak suara didengari.

“Kalau berlaku darurat… Nauzubillah, tidak ada sidang Parlimen, tidak ada peluang mendengar dalam dewan rakyat tentang pro dan kontra kepada sesuatu maka ia menjadi seperti sebuah dictatorship.

“Tetapi Alhamdulillah Ke Bawah Duli Tuanku bertitah tidak perlu darurat, jadi sidang Parlimen boleh diteruskan,” kata Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR.

Beliau juga menegaskan, isu pokok pada masa ini bukan untuk menukar kerajaan, sebaliknya, usaha-usaha untuk berdepan pandemik COVID-19.

Pada Ahad, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini.

Seri Paduka Baginda, sebaliknya, mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

Berita penuh  https://www.astroawani.com/berita-politik/pembangkang-akan-sokong-ruu-yang-bawa-kebaikan-fahmi-fadzil-265357

COMMENTS