Dalam kehidupan, jika kita menginginkan sesuatu yang mahal, kita perlu berusaha keras untuk mencapainya.
Namun, ramai yang kurang berkemampuan memilih jalan pintas tanpa memikirkan akibat di kemudian hari, termasuk mengambil pinjaman walaupun tidak layak dengan pendapatan semasa.
Menurut mStar, seorang lelaki telah meluahkan kekesalannya berhubung penipuan yang dilakukan terhadap isteri tersayang demi memenuhi kehendaknya untuk mendapatkan kereta idaman.
Lelaki tersebut mendedahkan bahawa dia telah berkahwin sejak dua tahun lalu dan mengakui telah menipu isteri tentang pekerjaannya.
“Saya ada masalah besar sekarang. Saya sudah dua tahun berkahwin. Apa yang isteri saya tahu ialah saya bekerja dengan kerajaan.
“Padahal, sebenarnya saya bekerja sebagai pemandu e-hailing. Selama ini saya menipu dia untuk kesenangan hidup,” katanya dalam sebuah grup Facebook.
Menurutnya, dia pada mulanya menjangkakan dapat meningkatkan pendapatan dengan hasil kerja sebagai pemandu e-hailing pada tahun ini.
Disebabkan terlalu yakin, dia nekad membeli kereta baru dengan bantuan isterinya untuk membuat pinjaman bank.
“Saya buat pinjaman atas nama isteri… saya beli Honda Accord untuk kerja e-hailing,” ujarnya.
Namun, nasib tidak menyebelahi apabila segala perancangan tidak menjadi seperti yang diharapkan. Lebih malang lagi, dia mengalami masalah kewangan hingga bayaran balik pinjaman kereta tertunggak selama dua bulan.
“Sekarang sudah dua bulan tertunggak bayaran,” katanya.
Walaupun menghadapi kesusahan, dia masih meneruskan penyamaran dengan berpakaian rasmi seolah-olah bekerja di pejabat di hadapan isterinya, sedangkan sebenarnya dia masih bekerja sebagai pemandu e-hailing apabila berada di luar rumah.
“Saya keluar pakai kemeja seolah-olah bekerja kerajaan. Saya risau jika kantoi dengan isteri saya. Hutang sudah sangat banyak,” luahnya yang buntu dengan masalah kewangan yang dihadapinya.
Perkongsian luahan tersebut mengejutkan netizen, yang tidak menyangka ada individu yang sanggup menipu isteri sendiri demi membuat pinjaman bank untuk membeli kereta idaman.
“Buat pinjaman sampai beli Accord. Kenapa tidak beli Saga BLM je untuk e-hailing? Tipu pula isteri sendiri. Kena apa-apa nanti menyesal tak sudah. Isteri habis canang suami kerja kerajaan,” tulis seorang netizen.
“Dah la guna nama isteri untuk pinjaman. Beli Honda Accord pula. Jual balik je kereta tu, guna Axia. Hentikan keinginan nak bergaya. Masih sempat nak kembali ke pangkal jalan,” komen seorang netizen lain.
“Dah kantoi baru gelabah cari jalan. Hidup ni jangan bergaya, asalkan makan pakai cukup,” luah seorang netizen.
Walaupun dikritik hebat oleh sebahagian besar netizen, ada juga yang bersimpati dan memberi nasihat dalam mencari penyelesaian berikutan isu tersebut.