“Pelik, 3 hari aku tak nampak housemate makan dekat kantin, malam tu diam-diam aku selit sesuatu bawah bantal”, sekali ini yang jadi

Oleh JUNAIDA MAHUSIN

Malam aku tak boleh nak tidur jadi aku terasa nak kongsi 1 cerita zaman aku belajar dulu.

Beberapa belas tahun yang lampau, aku seorang pelajar di sebuah matrikulasi. Aku tinggal di asrama yang ada 4 pelajar dalam 1 bilik.

Adat kita belajar di kolej, kita boleh jumpa kawan daripada pelbagai latar belakang keluarga.

“Pelik, 3 hari aku tak nampak housemate makan dekat kantin, malam tu diam-diam aku selit sesuatu bawah bantal”, sekali ini yang jadi

Dalam bilik asrama aku ni, aku dengan Lemuni kira daripada golongan sederhana. Keluarga kami tak kaya tapi Alhamdulillah, cukup makan pakai.

2 orang lagi roommate aku, Kantan dengan Serai daripada keluarga yang agak susah. Adik beradik ramai dan ayah diorang cuma buat kerja kerja kampung dan jadi buruh. Gaji hari, ada kerja adalah duit. Begitulah keadaannya.

Tapi kami semua berkawan baik, tak adalah nak pandang rendah ke apa. Aku respect ayah diorang yang kerja kuat dan dapat hantar anak sambung belajar walaupun hidup susah.

Hari ni aku nak cerita pasal Kantan. Kantan ni anak sulung daripada 5 beradik. Dia seorang kakak dan anak yang baik.

Sebelum Kantan masuk matrikulasi, dia kerja di kedai jadi tukang angkat tong gas. Kuat Kantan ni. Otot besi urat dawai gamaknya. Dengan duit upah kerja situlah, Kantan simpan duit untuk sambung belajar.

Masa belajar kat matriks, kitorang dapat elaun setiap bulan. Itulah duit makan, itulah duit nak fotostat nota kuliah dan sebagainya.

Adakalanya Kantan hantar separuh duit elaun tu pada keluarga dia. Pernah aku tanya,

“kenapa kau hantar duit?. Kau kat sini nak makan pun berkira kira”.

Tapi Kantan kata, dia tak tergamaklah dengar adik adik dia makan nasi dengan kicap saja. Duit yang dia hantar tu, bolehlah diorang beli telur.

Suatu hari, lepas aku balik dari kuliah, Lemuni bagitau aku yang dia tak nampak Kantan makan apa apa dalam 3 hari. Minum air kosong saja.

Aku pun tanya la balik, mana kau tahu? Iyalah, mungkin dia dah makan sebelum balik bilik.

Tapi Lemuni kata, ada seorang kawan kelas Kantan bagitau dia yang Kantan memang tak makan apa apa masa rehat.

Bila kawan dia ajak makan, Kantan kata dia tak nak. Makanya si Lemuni syak yang Kantan tak ada duit sebab kitorang 1 bilik tahu keluarga Kantan ni susah.

Tapi walaupun dia susah, dia tak pernah meminta minta dengan orang lain. Kalau kita tanya dia pun, dia takkan mengaku yang dia tak ada duit.

Tak fikir panjang, aku pun ambil duit dalam dompet dan letak bawah bantal Kantan.

Malam tu, bila Kantan nak tidur dia pun angkat dan tepuk tepuk bantal dia. Nampaklah duit yang aku letak tu.

Muka terkejut dan bersinar sinar mata Kantan sambil tanya kitorang siapa yang letak duit tu. “Eh, tu katil kau, bantal kau… manalah kitorang tahu.”

Kantan mulanya berkeras minta kitorang cakap siapa yang letak duit tu tapi kitorang semua sepakat buat tak dengar ja.

Akhirnya terkeluar dari mulut Kantan,

“Dah 3 hari aku selongkar tempat aku, memang tak ada duit.”

“Rezeki kau la tu”, balas aku.

Benarlah telahan Lemuni.

Sejak dari hari tu, aku selalu beli roti banyak banyak dan letak dekat bilik. Aku kata, “siapa nak makan, makan ja la”.

Bila Kantan tak ada duit, dia akan makan roti yang aku beli. Dari saat itu, tak ada lagi hari yang kitorang nampak Kantan tak makan.

Alhamdulillah. Setakat ini saja cerita aku. Apa yang aku nak sampaikan ialah ada orang di sekeliling kita yang susah tapi dia bukan jenis meminta. Dengan sedikit kepekaan, kita boleh nampak kesusahan dia.

Tolong dia dan pada masa yang sama, lakukan dengan cara yang tidak membuatkan orang tu rasa malu atau boleh menjatuhkan maruah dia.

Tolong dengan ikhlas semata mata mengharapkan keredaan daripada Allah s.wt.

Tambah lagi dalam keadaan sekarang, makin ramai yang tersepit demi mencari sesuap nasi termasuklah aku yang tengah bergelut nak cari kerja tetap waktu ni.

BACA: Singapura luluskan 16 serangga yang boleh dimakan, cuba tengok lipas di nombor berapa?