Seorang lelaki sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupunya di sebuah rumah di Kluang, Johor bulan lalu.
Sebelum ini, tertuduh disiasat atas dakwaan merogol mangsa yang sama sehingga hamil 8 bulan semasa menghadiri sambutan hari keluarga di Mersing, Johor pada Disember tahun lalu.
Menurut laporan Berita Harian, perbuatan tertuduh terbongkar selepas mangsa mengadu sakit perut dan dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
Di hospital, doktor mengesahkan mangsa sedang hamil, dan selepas disiasat, mangsa mendedahkan bahawa dia telah dirogol oleh sepupunya.
Selain rogol, mangsa juga memberitahu bahawa tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadapnya ketika bertandang ke rumah enam bulan selepas kejadian rogol.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap sepupunya di rumah mangsa di Kluang pada jam 9.30 malam, Jun lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan mencadangkan agar tertuduh tidak diikat jamin dengan mengambil kira faktor hubung kait kejadian pertama (kes rogol) yang masih dalam siasatan polis, serta jarak rumah tertuduh dan mangsa yang tidak jauh.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 Ogos ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.