Pelajar didenda lari sambil pakai pelitup muka, akhirnya terpaksa dikejarkan ke hospital. Seorang pelajar terpaksa mendapatkan rawatan di hospital kerana mengalami palpitasi jantung selepas kelasnya dikatakan dihukum lari mengelilingi gelanggang bola tampar 30 pusingan dengan memakai pelitup muka.
Menurut laporan China Press, kejadian berlaku di Sekolah Menengah Foon Yew di Kulai, Johor, minggu lalu, apabila semua pelajar kelas berkenaan dihukum akibat segelintir mereka tidak menyiapkan kerja rumah.
Semalam, ibu remaja berusia 15 tahun itu memuat naik gambar anak perempuannya terlantar di katil hospital di Facebook, dan menceritakan apa dilalui remaja berkenaan.
Hantaran itu tular dan netizen rata-rata mengkritik guru serta sekolah itu. Kejadian itu turut mencetuskan debat berhubung hukuman fizikal bagi pelajar sekolah.
Ibu saudara remaja itu turut menjelaskan di Facebook, bahawa gadis itu berlari 15 pusingan gelanggang sebelum mula rasa tidak selesa. Guru itu kemudian membenarkannya menghabiskan hukuman berkenaan dengan hanya berjalan.
Pelajar itu, bagaimanapun, rasa tidak selesa ketika pulang ke rumah pada waktu petang menyebabkan keluarganya membawanya ke hospital untuk rawatan.
Guru besar sekolah itu, Ng Fui Choo memberitahu China Press, guru berkenaan melakukan kesilapan dan ibu bapa remaja terbabit menerima permohonan maaf hasil satu pertemuan yang diadakan, hari ini.
Beliau turut dipetik, berkata sekolah itu meminta ibu bapa berkenaan memberikan surat rasmi berkaitan keadaan kesihatan anak mereka supaya dia boleh menggunakan lif sekolah.
Surat itu juga akan menjadi bukti bahawa remaja itu tidak boleh terlibat dalam latihan fizikal intensif. Guru pendidikan jasmani dan kokurikulum akan dimaklumkan berhubung keadaan pelajar terbabit supaya langkah keadaan kesihatannya dipantau.
BACA:
Honda CR-V versi baharu pula bocor di media sosial, hampir sama bentuk HR-V
Akhirnya terdedah punca sebenar Awal Ashaari didakwa, “sampai kena gari tangan tu..”
Lelaki terpaksa bayar semula RM28,000, duit tiba-tiba masuk dalam akaun CIMB entah dari mana