Peguam Azeez dakwa pertuduhan terhadap anak guamnya cacat

Peguam Azeez dakwa pertuduhan terhadap anak guamnya cacat

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim adalah cacat, tidak berasas dan dibuat dengan niat jahat atau mala fide.

Abdul Azeez yang diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dalam hujahannya berkata pertuduhan pertama di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah cacat kerana ia menggabungkan dan melibatkan empat projek berlainan dalam satu pertuduhan.

“Bagi pertuduhan pertama hingga ke sembilan yang dipinda bagi pengubahan wang haram, pihak pendakwaan gagal menyatakan dalam bentuk apa atau bagaimana wang atau hasil itu diterima oleh pemohon… tiada tarikh atau lokasi tertentu.

“Semua pertuduhan pengubahan wang haram itu telah gagal dalam kesalahan predikat yang membawa kepada aktiviti haram,” katanya semasa pendengaran permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Amer Hamzah berkata selepas pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018, SPRM telah menyerbu rumah Abdul Azeez susulan laporan yang diterima oleh agensi itu.

Bagaimanapun, SPRM tidak merekodkan sebarang kenyataan daripada Abdul Azeez dan ini disahkan oleh pihak pendakwaan melalui afidavit jawapan oleh pegawai penyiasat dalam kes itu.

“Sudah tentu tiada syak wasangka munasabah pada masa itu kerana pemohon tidak pernah dipersoalkan mengenai apa-apa kesalahan,” hujah peguam itu.

Amer Hamzah berkata Abdul Azeez pada mulanya ditahan untuk siasatan berhubung penyelewengan dana Tabung Haji, namun dalam pertuduhan yang dihadapinya, tiada sebutan langsung mengenai Tabung Haji.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu apabila Abdul Azeez ditahan dan dibebaskan dengan ikat jamin polis, SPRM tampil dengan naratif bahawa siasatan itu berkaitan Tabung Haji dan ini dapat dilihat daripada laporan media berkaitan tangkapan tersebut dan siasatan terhadap pemohon.

“Walaupun laporan itu tidak benar, tiada penafian atau penjelasan yang dibuat oleh SPRM. SPRM telah menggambarkan pemohon sebagai seseorang yang disiasat kerana didakwa melakukan perbuatan menyalahi undang-undang berhubung Tabung Haji,” katanya.

Amer Hamzah berhujah pertuduhan terhadap Abdul Azeez dikenakan dengan niat buruk untuk mencemarkan reputasinya sebagai ahli parlimen Baling.

Abdul Azeez, 54, selaku pemohon memfailkan permohonan untuk membatalkan 13 pertuduhan terhadapnya pada 11 Dis tahun lepas.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad berkata pihaknya membantah permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua pertuduhan yang dihadapinya kerana ia tidak berasas dan pramatang.

“Perbicaraan kes ini telah bermula di Mahkamah Sesyen dengan lima saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan. Walaupun saksi yang telah dipanggil adalah saksi formal, mereka telah mengemukakan keterangan masing-masing. Di dalam pertuduhan juga jelas menyatakan bagaimana pemohon melakukan kesalahan secara rasuah dengan menerima suapan pada tarikh dan tempat seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Penggabungan yang melibatkan empat projek berlainan dalam suatu pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tidak menjadikan pertuduhan tersebut cacat.

“Selain itu, pemohon juga menyatakan pertuduhan pindaan itu cacat, namun ia tidak memudaratkan kes pendakwaan kerana pemohon tidak pernah diprejudiskan oleh kecacatan tersebut yang beliau berupaya mengendalikan pembelaannya semasa perbicaraan mahupun mencabar keterangan saksi-saksi pendakwaan,” katanya.

Hakim Muhammad Jamil menetapkan 12 Mac untuk keputusan permohonan itu.

Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/564097